Kembali Ke Laman Utama

Friday, August 28, 2026

Sirah Sahabat Nabi: Abdullah bin Mas'ud — Insan Kerdil Pemilik Keilmuan


Abdullah bin Mas'ud — Insan Kerdil Pemilik Keilmuan

Mukaddimah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالمُرْسَلِيْنَ، سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ.

Sidang jemaah yang dikasihi Allah SWT,

Pada hari Jumaat yang penuh keberkatan ini, sementara kita menunggu azan dikumandangkan, mari kita hayati seketika sirah seorang sahabat Nabi yang sangat istimewa.

Fizikalnya lebih kurang seperti Julaibib r.a yang pernah saya kongsikan sebelum ini orangnya sangat kecil, kurus, dan kerdil. Jika beliau berjalan di tengah-tengah orang ramai, mungkin tiada siapa yang perasan akan kewujudannya.

Namun jangan terkejut tuan-tuan—insan nilah antara sahabat yang paling disayangi oleh Rasulullah SAW! Walaupun fizikalnya biasa-biasa sahaja, tetapi ilmu dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat luar biasa. Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Mas'ud bin Ghafil bin Habib.Ibu beliau bernama Ummu 'Abd (Bint Abdi Wadd), sebab itulah beliau juga kerap dipanggil oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dengan gelaran Ibnu Ummi 'Abd (anak lelaki Ummu 'Abd).

Beliau dikenal sebagai Abdullah bin Mas'ud RA—seorang sahabat yang digelar sebagai Sahibus Sirr (Pemegang Rahsia Nabi) dan Saqiyyan (Pemilik dua betis yang sangat berat timbangannya di akhirat kelak).

Sebelum Memeluk Islam & Peristiwa Kambing Betina

Sidang jemaah sekalian,

Sebelum memeluk Islam, Abdullah bin Mas'ud merupakan seorang pemuda belia yang bekerja menggembala kambing milik seorang pembesar Quraisy, Uqbah bin Abi Mu'ait. Tuannya iaitu Uqbah bin Abi Mu'ait ialah seorang pemimpin suku Quraisy daripada Bani 'Abdu Shams di Makkah yang menjadi antara penentang paling ketat dan memusuhi Nabi Muhammad SAW pada fasa awal Islam.

Cerita bagaimana hidayah Islam masuk dalam hati Ibnu Mas'ud ni melalui satu peristiwa

Masa tu, abdullah ibnu mas’ud  tengah sibuk jaga kambing kat padang pasir. Tiba-tiba, datanglah Rasulullah SAW bersama Abu Bakar As-Siddiq RA yang tengah berjalan jauh. Dah nama pun berjalan tengah panas padang pasir, baginda berdua pun rasa penat dan haus sangat.

Bila nampak Ibnu Mas'ud ada dengan kawanan kambing, Nabi SAW pun hampiri beliau dan minta izin nak minum sikit susu kambing tu untuk hilangkan dahaga.

Ibnu Mas'ud berkata kepada Nabi SAW:

إِنِّي مُؤْتَمَنٌ، وَلَسْتُ بِسَاقِيكُمَا

"Sesungguhnya aku seorang yang memegang amanah, dan aku tidak boleh memberi kamu berdua minum."

Nabi SAW bersabda kepadanya:

فَهَلْ عِنْدَكَ مِنْ جَذَعَةٍ لَمْ يَنْزُ عَلَيْهَا الفَحْلُ؟

"Apakah engkau mempunyai seekor anak kambing betina yang belum pernah dikawini oleh jantan?"

Ibnu Mas'ud menjawab:

نَعَمْ

"Ya, ada."

Lalu Ibnu Mas'ud membawa kambing betina tersebut. Rasulullah SAW memegang kambing itu dan mengusap kantung susunya sambil berdoa. Dengan izin Allah, kantung susu yang dahulunya kering terus membengkak dan mengeluarkan susu yang sangat melimpah. Abu Bakar RA membawa batu cekung untuk menampung susu tersebut lalu mereka bertiga minum bersama.

Melihat mukjizat ini, Ibnu Mas'ud terus memohon: عَلِّمْنِي مِنْ هَذَا الكَلاَمِ ("Ajarilah aku daripada kata-kata ini [Al-Quran]"). Nabi SAW mengusap kepalanya dan bersabda: إِنَّكَ غُلاَمٌ مُعَلَّمٌ ("Engkau adalah seorang budak belia yang terpelajar/berilmu"). Beliau menjadi orang ke-6 yang memeluk agama Islam.

Sumber Rujukan Peristiwa Ini:

Kisah dialog dan peristiwa kambing betina ini diriwayatkan secara sahih/hasan dalam Musnad Imam Ahmad (No. 3598), Siyar A'lam an-Nubala oleh Imam adz-Dhahabi (Vol. 1, m/s 462), serta Kitab ad-Dala'il an-Nubuwwah oleh Imam al-Baihaqi.

[Kelebihan & Kedudukan di Sisi Nabi SAW]

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Abdullah bin Mas'ud sangat rapat dengan Rasulullah SAW. Beliau diberi keizinan khas untuk masuk ke rumah Nabi SAW bila-bila masa, memegang siwak, membawa kasut, dan menjaga keperluan peribadi baginda. Kerana terlalu kerap bersama, para sahabat yang baru tiba dari luar mengira bahawa Ibnu Mas'ud dan ibunya adalah sebahagian daripada keluarga (Ahli Bait) Rasulullah SAW.

Di samping itu, beliau merupakan seorang pakar Al-Quran yang paling ulung. Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf keilmuannya dan suka mendengar bacaan Al-Quran daripadanya.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sahih:

خُذُوا الْقُرْآنَ مِنْ أَرْبَعَةٍ: مِنْ ابْنِ أُمِّ عَبْدٍ، وَمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ، وَأُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ، وَسَالِمٍ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ

Maksudnya:

"Ambillah (pelajarilah) Al-Quran itu daripada empat orang: daripada Ibnu Ummi 'Abdin (Abdullah bin Mas'ud), Mu'adh bin Jabal, Ubay bin Ka'ab, dan Salim hamba bebasan Abu Hudhaifah."

(Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

[Sumbangan & Peristiwa Bersama Sahabat]

Sidang jemaah yang berbahagia,

Abdullah bin Mas'ud adalah seorang yang sangat berani. Beliau merupakan orang pertama yang berani memperdengarkan bacaan Al-Quran secara (Jahar) terang-terangan di hadapan pembesar Quraisy di tepi Kaabah. Walaupun dipukul sehingga muka dan tubuhnya berdarah, beliau sedikit pun tidak gentar demi menegakkan kalimah Allah.

Ketika Perang Badr, fizikal beliau yang kecil tidak menghalangnya bertempur di medan jihad sehingga beliau berjaya menewaskan musuh tegar Islam, Abu Jahal.

Abu Jahal maut dalam Perang Badar akibat serangan dua pemuda Ansar iaitu Mu'adz bin Amr al-Jamuh dan Mu'awwiz bin Afra' yang melumpuhkannya, sebelum kepalanya dipenggal oleh Abdullah bin Mas'ud atas arahan Rasulullah SAW ketika musuh Islam itu parah. Sombongnya Abu Jahal ni, ketika nazak sekalipun dia masih sempat berkata ada tak orang yang level hebat sikit yang boleh tamatkan Riwayat dia? Kemudian bertanya siapa yang menang hari ni? Pengembala  kambing tu ke? Bahkan Abu Jahal tetap kata yang dia ni tetap memusuhi Islam sampai mati. Abdullah Ibnu Mas’ud tak cakap banyak terus tamatkan riwayat dia, sampaikan Rasulullah saw menggelarkan Abu Jahal dengan panggilan nilah dia firaun umat hari ni.

Muslimin yang dikasihi Allah sekalian

Ada satu peristiwa indah bersama para sahabat. Suatu ketika, Abdullah bin Mas'ud memanjat pokok untuk mengambil buah siwak (macam buah beri/anggur warna merah, bila lama warna gelap). Ceritanya masa nak panjat pokok siwak ni angin bertiup, tersingkaplah betisnya yang sangat kecil dan kurus, lalu sesetengah sahabat tergelak melihatnya. Rasulullah SAW terus menegur mereka:

مِمَّ تَضْحَكُونَ؟ لَرِجْلُ عَبْدِ اللهِ أَثْقَلُ فِي المِيزَانِ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ أُحُدٍ

Maksudnya:

"Mengapa kamu ketawa? Sungguh kaki (betis) Abdullah itu lebih berat dalam timbangan (Mizan) pada hari kiamat kelak daripada Gunung Uhud!"

(Hadis Riwayat Ahmad, Al-Bazzar & At-Thabrani)

Jadi tuan tuan jangan duk hairan sangatlah kalau orang hari ni duk perlekeh fizikal agamawan, ulama, perlekeh kekurangan orang hebat.

Ketika zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al-Khattab RA, Ibnu Mas'ud telah dihantar ke Kufah (Iraq) untuk menjadi guru, penterjemah Al-Quran, dan menteri pentadbiran. Hasil didikan beliaulah melahirkan ribuan ulama besar di Kufah, termasuklah susur jalur mazhab Fiqh Hanafi.

[Saat Akhir Hayat & Pengajaran]

Para jemaah yang dirahmati Allah,

Abdullah bin Mas'ud RA akhirnya dijemput kembali ke rahmatullah pada tahun 32 Hijrah di Madinah, ketika usia beliau sekitar 60-an sewaktu zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan RA.

(Teringat saya, minggu lepas dalam tazkirah Subuh ada saya kongsikan tentang 4 orang sahabat Nabi yang bernama Abdullah—atau digelar sebagai Al-Abaadillah. Tapi Ibnu Mas’ud tak tergolong dalam kumpulan tu sebab beliau meninggal dunia lebih awal berbanding mereka).

Tuan-tuan, saat-saat akhir hayat beliau sangat menyentuh hati. Ketika Ibnu Mas'ud terlantar sakit, Khalifah Uthman bin Affan RA datang menziarahinya. Berlaku satu dialog yang ringkas, tapi sarat dengan keinsafan:

Saidina Uthman bertanya:

مَا تَشْتَكِي؟

(“Apakah yang kamu adukan dan rasakan wahai Ibnu Mas'ud?”)

Ibnu Mas'ud menjawab ringkas: ذُنُوبِي (“Dosa-dosaku...”)

Uthman bertanya lagi: فَمَا تَشْتَهِي؟

(“Lalu, apa yang kamu inginkan sekarang?”)

Jawabnya dengan penuh pengharapan: رَحْمَةَ رَبِّي (“Rahmat Tuhanku.”)

Allahu Akbar, cuba kita renungkan sejenak tuan-tuan... Insan sehebat Abdullah bin Mas'ud—sahabat karib Nabi, pemegang rahsia Rasulullah, dan dadanya penuh diliputi Al-Quran—bila sampai di hujung nyawa, langsung tak fikir pasal harta, pangkat, atau pedihnya kesakitan fizikal.

Yang paling beliau gerunkan hanyalah dosa-dosa lalu, dan yang paling beliau impi-impikan hanyalah satu: rahmat dan keampunan daripada Allah SWT.

 

Pengajaran Tazkirah Hari Ini:

  • 1.      Taqwa & Ilmu Itu Nombor Satu: Allah tak pandang rupa, keturunan, atau saiz fizikal kita. Yang buat kita mulia di sisi Allah cuma satu—iaitu sejauh mana tebalnya iman dan taqwa dalam dada.
  • 2.      Jadikan Al-Quran Sahabat Karib: Sayyidina Abdullah bin Mas'ud hebat sebab hidupnya sentiasa melekat dengan Al-Quran. Sempena Jumaat yang berkat ini, ayuh kita jadikan titik mula untuk rajin membaca, fahamkan isi, dan amalkan Al-Quran setiap hari.
  • 3.      Jujur Buat Hidup Berkat: Kisah beliau menjaga kambing dengan penuh amanah menjadi asbab datangnya hidayah. Apabila kita jujur dalam kerja dan urusan harian, insya-Allah pintu rezeki dan keberkatan akan sentiasa terbuka luas.

Semoga Allah SWT meredhai Saidina Abdullah bin Mas'ud RA dan mengumpulkan kita bersama para sahabat Nabi di syurga kelak.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ. أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُم، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.


No comments:

Post a Comment