Oleh: Mohd Azlan bin Kahlid
: Sarjana Muda Perbankan Islam, UiTM
Lembaga Tabung
Haji satu merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita
sebagai sebuah institusi yang terkenal dalam mengendalikan urusan berkenaan ibadat
haji bagi para pendepositnya. Bertitik tolak atas kesedaran yang tinggi dalam
penghayatan Islam sebagai ad-deen (Islam
is the way of life) sebagai praktis dalam kehidupan, maka bagi
mengelakkan terjebak kepada transaksi yang berasaskan riba yang sememangnya
diharamkan oleh Allah swt melalui al Quran, maka pelbagai cara diamalkan bagi tujuan menyimpan wang sebagai
alternatif untuk melaksanakan kefardhuan melaksanakan rukun Islam ke-lima.
Kaedah penyimpanan yang tidak efisyen oleh orang-orang dahulu termasuk turut
menjual sebahagian ternakan malah juga harta telah meninggalkan kesan terhadap
pengembangan ekonomi yang perlahan serta tekanan ekonomi ke atas keluarga
mahupun waris dan juga diri sendiri sekeluarga sekembalinya pulang daripada
mengerjakan ibadah haji dan umrah di dua kota suci umat Islam. Melihat kepada
faktor ini, maka pada bulan November 1962, Perbananan Wang Simpanan Bakal-Bakal
Haji ditubuhkan dan beroperasi pada tahun 1963. Segalanya wujud apabila hasil
idea kertas kerja yang dikarang oleh Yang Mulia Profesor Di Raja Ungku Aziz
yang bertajuk “Rancangan membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji” pada tahun 1959
diterima. Pada tahun 1969 pula, perbadanan berkenaan
digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau
Pinang, maka hasilnya Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) atau Tabung Haji
ditubuhkan.
Sejarah penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji
atau singkatannya LUTH secara rasminya pada tahun 1969 dibawah akta 8/1969
membuktikan keupayaan institusi korporat ini terus gah memacu pertumbuhan
ekonomi negara Malaysia. Sekitar tahun 1995, satu akta baru telah direncanakan
iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji sekaligus memansuhkan akta sebelumnya.
Nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji kemudiannya digantikan dengan nama Lembaga
Tabung Haji (LTH) secara rasminya pada 28 Ogos 1997 dan kekal sehingga
sekarang. Setelah bertapak kukuh lebih 52 tahun di persada negara, Lembaga
Tabung Haji terus mengorak langkah dengan membuka pasaran baru dalam mengungguli
fungsinya menguruskan hal ehwal ibadah haji umat Islam Malaysia menerusi
penerokaan pasaran pelaburan ekonomi yang berteraskan pelaburan halal dan
menepati garisan syarak. Ini dapat dilihat dengan kejayaan yang berterusan
menerusi pulangan dividen yang tinggi kepada pendeposit saban tahun. Lembaga
Tabung Haji beroperasi berlandaskan tiga (3) operasi utamanya iaitu pertama;
menyediakan tabungan untuk umat Islam, kedua; menjalankan aktiviti pelaburan
dana terkumpul dan pengawasan fungsi pelaburan serta ketiga; menyediakan
perkhdimatan haji dan umrah ke Tanah Suci Kota Mekah al Mukarramah. Beroperasi
di Jalan Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur di mana terletaknya bangunan pejabat
utama berwajahkan struktur binaan bangunan berbentuk seperti sebuah tabung
simpanan, menjadi simbolik yang sebati di kalangan rakyat Malaysia yang
beragama Islam.
Dengan
berterapkan visi “Tonggak Kejayaan
Ekonomi Ummah; Pengurusan Haji Terbilang”, beberapa
misi dipadu bagi menghasilkan natijah yang memberi manfaat besar untuk ummah.
Antaranya adalah dengan memperkasakan ekonomi ummah, dengan sentiasa
giat dalam mencari pelaburan strategik di peringkat global dan tempatan bagi
pertumbuhan yang berterusan,menggembleng dan memperkaya modal para pendeposit,
memberikan perkhidmatan cemerlang yang berterusan, memudahkan dan membantu menyempurnakan
urusan para jemaah ke arah haji yang mabrur serta memberi pulangan yang
kompetitif, halal dan toyyiban. Ini dapat direalisasikan berasaskan nilai kerja
profesionalisme, bekerja secara berpasukan, komited, prihatin, mesra dan
penyayang serta menerapkan nilai inovatif dalam melaksanakan gerak kerja yang
lebih tersusun dan sistematik.
Tugas Tabung
Haji bukan lagi sebagaimana operasi awal penubuhannya untuk menggembleng
tabungan di kalangan umat Islam yang mahu mengumpul wang bagi menyempurnakan
rukun Islam kelima, iaitu ibadah haji di Kota Suci Mekah al Mukarramah, tetapi
turut memperluaskan peranannya dalam mengembangkan penguasaan ekonomi umat
Islam secara keseluruhan di samping memberi perlindungan ekonomi serta
mengembangkan sumber pendapatan dalam suasana ekonomi semasa yang penuh cabaran
berdepan situasi persaingan ekonomi di peringkat global. Dengan mengambilkira
keseimbangan kepada tahap risiko yang bakal berdepan, Tabung Haji mampu meraih
pulangan yang sangat besar untuk dimanfaatkan oleh para pencarumnya. Malah
dengan fungsinya yang semakin fleksibel tanpa menggugat tujuan asal
penubuhannya, peranannya terus diperluaskan untuk Tabung Haji turut bersama
memulihkan situasi ekonomi negara daripada menerima kesan-kesan besar akibat
daripada kegawatan dan kemelesetan ekonomi dunia. Kesan mendapan ekonomi yang
menguncup nilai matawang sesebuah negara menjadi pertimbangan para ahli ekonomi
Islam untuk terus mempersada sistem kewangan Islam ke peringkat yang lebih jauh
bahkan bukan lagi menjadi sistem subsidiari, tetapi menjadi pilihan utama
kepada negara-negara Islam bagi menggantikan sistem ekonomi yang sedia
terpakai.
Dengan iklim
perkembangan industri kewangan Islam yang kian pesat malah menjadi salah satu
komponen yang kompetetif dalam sistem kewangan di Malaysia dan menjadi
sebahagian pemacu pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara, penyertaan Lembaga
Tabung Haji dalam merancakkan ekonomi umat Islam Malaysia tampak jelas apabila
pelbagai rencana dijalankan oleh barisan kepimpinan organisasi Lembaga Tabung
Haji. Antaranya melalui aktiviti penyimpanan wang oleh pendeposit, wang
berkenaan dilaburkan dalam pelbagai sektor industri halal yang turut memberi
pulangan yang kompetetif. Dasar yang telus dalam laporan turut memberikan imej
positif bahawa institusi korporat ini terus mendapat kepercayaan masyarakat
umat Islam di negara ini. Kos
mengerjakan ibadah haji pula semakin meningkat setiap tahun, namun Tabung Haji
berjaya mengekalkan pemberian subsidi hasil daripada pelaburan dan perniagaan
yang menguntungkan.Untuk makluman juga, subsidi haji adalah merupakan pelaburan
tanggung jawab sosial korporat (CSR) yang terbesar dan juga terpenting bagi
Jemaah haji muassasah pertama kali setiap tahun. Bahkan pemberian subsidi ini
nyatanya telah membantu mengekalkan bayaran haji bagi seorang jemaah pada kadar
Rm 9,980.00 jauh lebih rendah biarpun kos mengerjakan haji pada kadar yang
sebenar bagi tahun 2015 adalah Rm17,270 bagi setiap individu atau seorang
Jemaah haji. Ini menunjukkan bahawa dengan kekuatan aset kewangan dan prestasi
yang dimiliki oleh Tabung Haji membuktikan kos bagi tanggungan haji masih mampu
dibiayai oleh Tabung Haji dengan pemberian subsidi. Ini sekaligus membantu
golongan yang kurang berkemampuan dan menunaikan hasrat golongan ini yang ingin
turut serta bersama-sama menjadi tetamu pilihan Allah di kaabah. Pemberian
subsidi ini juga sejak tahun 2001 lagi, adalah sebagai salah satu agenda
kebajikan kepada para Jemaah haji selain turut menyumbang peruntukan yang besar
bagi kos operasi sokongan haji merangkumi bimbingan haji, khidmat rawatan,
serta khidmat petugas haji.
Betapa pentingnya akan penubuhan Tabung Haji ini sehingga turut menapat
pengiktirafan dan pujian daripada beberapa negara termasuk kerajaan Arab Saudi
sendiri. Ini sekaligus membuktikan para bakal haji menapat manfaat yang besar
terhadap kemajuan pengurusan Tabung Haji yang cemerlang untuk membela mereka
mengendalikan sistem penyimpanan yang berkesan di samping menjaga ekonomi umat
Islam.
Tidak dapat dinafikan lagi institusi korporat Lembaga Tabung Haji ini
banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara melalui kegiatan
yang dijalankannya. Antaranya adalah menerusi kegiatan pelaburannya melalui
pelbagai lapangan yang berpotensi. Aktiviti pelaburan merupakan salah satu
aktiviti teras Tabung Haji dimana dana wang simpanan pendeposit akan
dijana melalui pelaburan untuk hasil
pulangan yang kompetetif dan patuh aspek syariah. Aktiviti-aktiviti ini dijalankan
oleh Jabatan Pelaburan dan Jabatan Kewangan Korporat dan Perkhidmatan.
Berdasarkan laporan pecahan perolehan pendapatan Tabung Haji bagi tahun 2013,
sebanyak 58% perolehan terbit daripada ekuiti, 18% daripada pendapatan tetap,
pasaran wang dan instrumen kewangan pula menyumbang lebih 10%, segmen hartanah
pula menyumbang sebanyak 8% dan lain-lain hasil perolehan adalah sebanyak 6%.
Dengan pengukuhan anak syarikat pelaburan Tabung Haji seperti dalam sektor
perladangan (TH Plantation Bhd, TH Indo Industries Sdn Bhd, TH Indopalm Sdn
Bhd, TH Estates-Holdings Sdn Bhd) , Sektor Perbankan (BIMB Holdings Bhd
melalui anak syarikat Bank Islam
Malaysia Berhad-BIMB dan Syarikat Takaful Malaysia), Sektor Teknologi Maklumat
(THETA Edge Bhd), Sektor Hospitaliti (TH Hotel & Residence Sdn Bhd, TH
Travel & Services), Sektor Perkhidmatan (THC International Bhd), Sektor
Hartanah dan Pembinaan (TH Properties Sdn Bhd, LTH Property Investment (L) Inc,
LTH Property Holdings Limited, dan LTH Property Holdings 2 Limited) serta
Sektor Sokongan Marin (TH Marine Sdn Bhd, TH Alam Holdings (L) Inc dan TH
Marine Holdings (L) Inc). Kesemua kekuatan anak syarikat terkenal yang dimiliki
oleh Tabung Haji ini menunjukkan betapa pesatnya penjanaan pendapatan ekonomi
Tabung Haji untuk menggerakkan penguasaan ke atas pasaran ekonomi tempatan sehingga
ke peringkat yang lebih jauh di arena antarabangsa.
Antara penglibatan cemerlang yang ditunjukkan ialah menerusi Sektor
Kewangan Islam yang diaktifkan oleh BIMB Holdings Bhd (BHB) merupakan pelopor
perniagaan patuh syariah di Malaysia. Ia dijalankan melalui aktiviti perbankan
Islam, takaful dan pembroker saham. Keuntungan sejumlah Rm883.6 juta pada tahun
2014 oleh perbankan Islam dan takaful sememangnya amat besar bagi mengukuhkan
prestasi pelaburan yang disertai oleh Tabung Haji. Di samping itu, menerusi
sektor perladangan, penglibatan Tabung Haji melalui aktiviti perladangan kelapa
sawit dan getah serta pengilangan di Malaysia dan Indonesia di dalam sektor pengeluaran
dan pembungkusan minyak sawit mampu memaksimakan lagi hasil pendapatan negara
ini. Objektif dan matlamatnya melalui pengurusan perladangan yang efisyen dan
kemampuan menghasilkan produk yang bermutu bagi memenuhi permintaan untuk
pasaran eksport. Bagi sektor hartanah dan pembinaan pula, Tabung Haji menerusi
pelbagai anak syarikatnya mempamerkan prestasi cemerlang untuk kewangan dengan
peningkatan pendapatan sebanyak 65% iaitu sebanyak Rm441 juta. Di sektor
Hospitaliti dan Perkhidmatan pula dengan pengalaman dan kepakaran lebih 50
tahun, TH Hotel & Residence Sdn Bhd
kini menguruskan rangkaian TH Hotel di seluruh Malaysia antaranya di Kota
Kinabalu, Kuala Terengganu, Kelana Jaya, Alor Setar dan Pulau Pinang dengan
jumlah jualan tahunan sejumlah Rm45.2 juta. Dan bagi sektor Perkhidmatan dan
lain-lain pula, menerusi THETA Edga Berhad, yang merupakan antara
syarikat-syarikat Telekomunikasi Teknologi Maklumat (ICT) yang pertama disenaraikan di Bursa Malaysia,
skop perniagaan diperluaskan lagi menerusi pengukuhan semua sektor penglibatan
ini bukan sahaja menggerakkan nilai ekonomi negara, bahkan secara khusus
membuktikan penguasaan ke atas ekonomi adalah jihad yang penting bagi survivor
ekonomi umat Islam di Malaysia.
Di samping itu, kewujudan Lembaga Tabung Haji juga telah memenuhi
keperluan pendeposit dari kalangan orang-orang Islam untuk menyimpan wang
mereka di institusi ini yang beroperasi berteraskan prinsip syariah. Ini adalah
kerana Lembaga Tabung Haji tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata
tetapi lebih menitik beratkan faktor seruan agama, maka ini akan mendorong
lebih ramai rakyat Malaysia yang beragama Islam khususnya untuk menyimpan wang
mereka di Lembaga Tabung Haji. Dengan jumlah prospek pendeposit sejumlah 8.614
juta orang pada tahun 2014 menjadi bukti institusi ini semakin mendapat
kepercayaan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia malah turut mendapat
sanjungan daripada negara Islam luar. Apabila terdapat ramai pendeposit yang menyimpan,
maka jumlah kewangan Lembaga Tabung Haji akan turut meningkat. Berdasarkan
Laporan Tahunan Lembaga Tabung Haji Malaysia Berhad bagi tahun 2010-2014 jumlah
pendeposit semakin meningkat dari satu tahun ke satu tahun. Ini terbukti
apabila pada tahun 2010 jumlah wang yang disimpan oleh pendeposit adalah
sebanyak RM 27.10 billion dan meningkat kepada Rm 31.70 bilion pada 2011, Rm
38.30 bilion pada tahun 2012, Rm 45.70 bilion pada 2013 dan peningkatan
mendadak kepada Rm 54.40 bilion pada tahun 2014. Dengan prestasi kewangan yang
mapan ini maka Lembaga Tabung Haji mampu membuktikan prestasinya dengan
melaburkannya dalam sektor pelaburan dan perniagaan yang berprestasi tinggi.
Dengan perakuan ini, maka berlakulah aliran keuntungan nilai pelaburan yang
akan membawa kepada pulangan yang kompetetif. Melalui keuntungan yang
diperolehi, pembangunan ekonomi negara akan dapat ditingkatkan melalui kutipan
cukai serta zakat.
Ini terbukti berkesan apabila
pemberian bonus yang semakin kompetetif seiring dengan pengukuhan kewangan
institusi ini dipersada dunia. Malah
pada tahun 2014, bayaran bonus sejumlah RM3.2juta telah diagihkan kepada 8.6
juta pendeposit
Tabung
Haji sebagai penghargaan kepada kepercayaan dan juga
sokongan berterusan mereka kepada Tabung Haji.
Pemberian bonus
ini ditawarkan menerusi bonus tahunan yang kompetitif iaitu sebanyak 6.25%,
iaitu tiga mata asas lebih tinggi berbanding yang ditawarkan oleh bank-bank
komersil lain di negara ini. Tabung Haji juga telah membayar Bonus Haji
tambahan sebanyak 2% untuk para pendeposit yang belum menunaikan haji. Pemberian
bonus tambahan ini diharapkan dapat membantu menambahkan simpanan haji para
pendeposit untuk urusan dan keperluan haji mereka dimasa akan datang nanti.
Menerusi ucapan perbentangan Bajet 2015 yang bertajuk “Ekonomi
Keperluan Rakyat” baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd
Najib bin Tun Abdul Razak turut menekankan melalui perancangan Memperkasa
Agenda Bumiputera Tindakan Ke-3: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
Bumiputera menyebut, “Lembaga Tabung Haji akan memperuntukkan 200 juta ringgit
bagi penubuhan Akaun Pelaburan Terhad patuh syariah di Bank Islam. Tujuan akaun
ini adalah bagi menyediakan kemudahan pembiayaan dan kredit yang bernilai
antara 50 ribu sehingga 1 juta ringgit mulai Januari 2015.” Satu inisiatif
telah dirangka oleh pihak Tabung Haji dengan mewujudkan Dana Bumiputera
Al-Ansar bagi merealisasikan hasrat berkenaan yang merupakan akaun pelaburan
terhad yang pertama di Malaysia dengan mendapat kelulusan daripada Bank Negara
Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Bank Islam
Malaysia Berhad pula dilantik sebagai pengurus dana akan memainkan peranan
penting dalam membuka peluang kepada golongan Bumiputera terpilih untuk menjadi
usahawan. Antara produk yang ditawarkan kepada bakal usahawan Bumiputera ialah melalui
Pembiayaan Perniagaan-i (Tawarruq) dan juga Ijarah Thumma Bai-I dengan kadar
keuntungan dikenakan setahun hanyalah 4.5% setahun yang dikira berdasarkan
kadar rata. Mereka yang layak memohon terdiri daripada Bumiputera Muslim sama
ada secara persendirian, perkongsian mahupun syarikat sendirian berhad yang
menjalankan perniagaan berorientasikan patuh syariah. Dengan pengwujudan skim
Dana Bumiputera Al-Ansar ini, maka kumpulan usahawan ini tadi dijangka mampu
merancakkan sumber pendapatan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana dengan
lebih pesat serta mewujudkan usahawan yang mampu bersaing ke peringkat yang
lebih besar dalam pasaran.
Keupayaan Lembaga Tabung Haji juga terserlah dengan menceburi bidang
industri perhotelan. Menariknya industri perhotelan begitu terkenal di Malaysia
yang menyumbang kepada struktur ekonomi Malaysia menerusi sektor pelancongan.
Berdasarkan peluang seperti paparan data pelancong menerusi Laporan Tahun 2014
menerusi Pelan Transformasi Ekonomi, sebanyak 27.4 juta orang pelancong tiba ke
Malaysia pada tahun 2014 berbanding 25.72 juta orang pada tahun sebelumnya
dengan peningkatan sebanyak 6.7%. Kemudahan fasiliti yang cemerlang yang
disediakan di Hotel Lembaga Tabung Haji menyaingi hotel-hotel bertaraf 5
bintang yang terkemuka di Malaysia. Malah penginapan yang selesa serta bilik
dewan seminar yang besar telah menarik pelbagai sektor jabatan kerajaan dan
swasta untuk memilih Hotel Lembaga Tabung Haji sebagai penginapan pilihan
utama. Keberhasilan perancangan strategik menerusi pelaburan dalam industri
perhotelan ini sesuatu yang amat memberansangkan memandangkan pelancong
tempatan mahupun luar negara begitu yakin dengan kualiti, keyakinan terhadap
aspek penyediaan makanan 100% halal, kebersihan, keselesaan dan yang lebih
penting mereka yakin terhadap pengurusan yang lebih islamik ditawarkan berbanding
persepsi terhadap pengurusan konvensional. Berdasarkan
laporan yang dikeluarkan oleh World Tourism Organization, Malaysia mengekalkan
kedudukan di tangga ke-13 bagi tahun 2014 dari segi pendapatan yang dijana
sektor pelancongan antarabangsa. Manakala mengikut jumlah ketibaan pelancong
antarabangsa ke negara ini, Malaysia berada di tangga ke-12 pada 2014. Faktor serta peluang yang begitu kondusif kepada ekonomi negara ini
tidak disia-siakan untuk Lembaga Tabung Haji setapak melangkah ke depan
bersama-sama menjadi pelabur strategik kepada kepentingan pencarum.
Umum juga mengetahui bahawa Lembaga Tabung Haji telah melaksanakan
kewajipan utama dalam rukun Islam iaitu pengeluaran zakat bagi urusan
perniagaan. Lembaga Tabung Haji yang bertapak di seluruh negeri di Malaysia
telah mengumumkan 2.5% hasil keuntungan yang diwajibkan sebagai zakat
perniagaan diiserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) setiap negeri.
Berdasarkan rekod pembayaran zakat yang dikeluarkan, sejumlah Rm 57 juta
pengeluaran zakat perniagaan dibayar pada tahun 2014 berbanding Rm 53 juta dan
Rm 47 juta bagi tahun 2013 dan tahun 2012. Menerusi Majlis Agama Islam Negeri,
kerjasama yang erat dijalin bersama untuk Lembaga Tabung Haji melaksanakan
pelbagai program kemasyarakatan yang dijalankan setiap tahun bagi disampaikan
sumbangan kepada kumpulan asnaf zakat terutamanya golongan faqir dan miskin.
Dengan itu, zakat yang berperanan sebagai agen pemangkin ekonomi umat Islam
menjadi semakin berperanan dengan jelas apabila jurang ekonomi dapat dikecilkan menerusi program pembasmian
faqir dan miskin di kalangan asnaf zakat. Sejenak menerusi pembasmian
kemiskinan ini, keluarga-keluarga asnaf terbela mendapat hak perlindungan
tatkala kos kehidupan yang semakin meningkat apatah lagi bagi memiliki rumah
sendiri. Sebagai contoh, dalam membina komuniti bestari, 2 projek melibatkan
pembasmian kemiskinan dan meningkatkan ekonomi dilaksanakan antaranya Projek
Ehsan yang merupakan projek berkala tahunan bagi menyediakan bantuan kewangan
kepada golongan yang memerlukan seperti warga emas, ibu bapa tunggal dan
golongan kurang upaya pada bulan Ramadhan. Inisiatif ini bertujuan bagi
meringankan bebanan kewangan bagi menyambut lebaran Syawal. Bagi Projek Baiti
pula yang turut dikenali dengan “Projek Bumbung” sebelum ini yang dilancarkan
pada tahun 2012, projek kendalian ini membantu membina dan membaiki rumah-rumah
serta masjid untuk komuniti masyarakat yang kurang berkemampuan. Matlamat
daripada perlaksanaan projek ini adalah untuk mengurangkan beban golongan miskin
dan meningkatkan lagi taraf hidup mereka dengan penyediaan rumah yang lebih
selesa dan selamat.
Bagi peluang kerjaya pula, Tabung Haji juga mempelawa mereka yang
berkelayakan dan mempunyai kebolehan yang kompeten boleh bersama-sama institusi
ini melalui peluang kerjaya yang sentiasa diiklanlan di laman sesawang Tabung
Haji. Malah bagi menjayakan aspirasi negara, serta menjalankan tanggungjawab
korporat sosial (CSR), Tabung Haji juga mengajak mahasiswa-mahasiswa tempatan
menyertai Program Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) yang kian mendapat minat para
graduan bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan untuk berkhdimat
di lapangan kerjaya yang sesuai dengan tahap pengajian. Mereka yang layak boleh
memohon apabila terdapat kekosongan dan akan dipanggil untuk menghadiri sesi
temuduga. Program Skim Latihan 1 Malaysia ini membuktikan ruang dan peluang
terbuka luas bagi anak muda tempatan yang berhasrat merealisasikan impian
mereka sekaligus mengecilkan kadar pengangguran di Malaysia. Melihat kepada catatan
statistik pekerjaan dan perburuhan yang dikeluarkan setakat bulan Jun 2015 oleh
pihak Kementerian Sumber Manusia, terapat sejumlah 445,200 orang penganggur
yang terdiri daripada 256,400 orang lelaki manakala selebihnya adalah perempuan
sejumlah 188,800 orang. Skim Laihan 1 Malaysian yang telah diperkenalkan sejak
tahun 2011 ini juga terbukti berjaya apabila agensi-agensi yang terlibat selain
Tabung Haji turut bersama menyediakan peluang kerjaya ini. Dalam dapatan yang
diperoleh sumber Jabatan Tenaga Manusia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sejumlah 53,000 orang graduan telah
mendapat manfaat daripada program ini sejak ianya diperkenalkan. Ini
termasuklah kumpulan-kumpulan selain daripada graduan pemegang ijazah, diploma
serta mereka yang mempunyai Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan juga
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dengan jumlah yang semakin meningkat untuk
penyertaan ke dalam skim ini membuktikan segala usaha yang dilakukan oleh pihak
kerajaan sememangnya berkesan bagi mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia
yang merangkumi 3% kadar penggangguran di seluruh negara dengan peningkatan
3.3% setiap tahun. Ini sekaligus menggambarkan kepada kita bahawa penyertaan
Tabung Haji serta kewujudannya memberi impak yang besar terhadap ekonomi negara
khususnya ekonomi umat Islam itu sendiri. Krisis pengangguran jika gagal
dibasmi dengan berkesan akan memberikan impak yang negative khususnya kepada
kelompok umat Islam itu sendiri.
Konklusinya,dengan melihat kepada kepentingan penubuhan Tabung Haji di
atas ke atas kesan dan manfaat ke atas ekonomi umat Islam, maka kita dapat
melihat bahawa institusi kewangan Islam khususnya Lembaga Tabung Haji ini
memainkan peranannya yang amat besar dalam pembangunan dan pengembangan ekonomi
negara. Walaupun wujudnya persamaan dari segi fungsi dan aktiviti yang
dijalankan oleh perbankan dengan bank konvensional serta syarikat swasta yang lain, tetapi
landasan penubuhannya adalah berbeza. Tabung Haji menjalankan urusan bakal haji
serta pelaburan yang dengan berlandaskan hukum Islam serta bertujuan keagamaan
yang memelihara semua prinsip maqasid syariah. Oleh yang demikian sumbangan
yang diberikan oleh institusi korporat seperti Lembaga Tabung Haji adalah amat
besar dalam menjana pembangunan ekonomi Malaysia dengan sumber yang halal dan
tidak bertentangan dengan aspek hukum syarak. Prospek ini adalah untuk
mencetuskan pembangunan ekonomi Malaysia yang lebih seimbang dengan menyusun
agenda pembangunan ekonomi yang lebih Islamik yang kian mendapat
sambutan.Sebagai langkah yang lebih agresif dan progresif dalam menentukan
halatujunya, rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam sangat mengharapkan
institusi ini dapat melangkah lebih jauh dan berperanan dengan lebih optimum
selaras dengan kekuatan sumber yang dimilikinya baik dari sudut pengurusan,
kewangan, dasar yang jelas serta aset strategik yang dimilikinya demi
memastikan umat Islam terus mendapat manfaat hasil penubuhannya khususnya alam
meningkatkan lagi ekonomi umat Islam di Malaysia.
Nombor Telefon Untuk dihubungi: 0139883435/0132807194
Bibliografi:
Laman Web:
Jabatan Tenaga Manusia :
Website Tabung Haji:
Laporan Tahunan 2014 Tabung Haji
Statistik Pekerjaan dan Perburuhan Bil 2/2015 bagi bulan Jun 2015
Akhbar dalam Talian:
Utusan Malaysia
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm
Sinar Harian
Ucapan
Ucaptama
oleh Penolong Gabenor di Majlis Muhadharah ILIM Kali Ke-9 yang bertajuk
"Kedudukan Sistem Kewangan Islam di Malaysia - Satu Tinjauan"
Artrikel
No comments:
Post a Comment