Bismillahi wal Hamdulillah.
1. Sudah memasuki tahun ke-5 saya berkhidmat berkhidmat di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu di Jabatan Baitulmal- Pusat Urusan Zakat.
2. Bermula pada tahun 2011, saya memasukinya dengan bermula sebagai pelatih praktikal. Dan dalam masa yang sama, saya mengisi peluang menjadi pengawal keselamatan bagi pusat zakat Daerah Dungun untuk tempoh beberapa bulan. Ya, dengan memakai seragam biru gelap yang dipandang rendah oleh sesetengah orang.
3. Habis tempoh berpraktikal, saya mengisi tempat sebagai pelatih al -Irsyad, satu skim yang diwujudkan Maidam kepada siswazah lepasan ijazah. 11 bulan jugalah saya menjadi pelatih seterusnya diserap jawatan di Unit Promosi Zakat, Ibu Pejabat Maidam Kuala Terengganu.
4. Sebenarnya siapa sangka, saya pernah tidur di kerusi sahaja tanpa katil untuk tempoh 1 tahun! Kerusi besi saya susun 2 buah dan saya jadikan ia sebagai tempat tidur saya selama saya menumpang di sebuah kompleks penempatan kumpulan asnaf muaallaf.
5. Banyak ragam dan pengalaman saya tempuhi. Baik dari segi perangai, sikap, kepercayaan dan bermacam lagi. Mereka terdiri daripada pelbagai bangsa, pelbagai bahasa. Daripada Thailand, bangsa India, bangsa cina, kaum murut dari Sabah, kaum Kadazan Sabah.
6. Pengalaman lalu menjadikan saya seorang yang mudahan mendidik sifat sabar pada diri saya. Selama mana saya di sana, saya mudah diterima rakan dan tidak pula bermusuh pada sesiapa. Walaupun tempat saya diami adalah tempat yang sangat kuat permusuhan antara sesama mereka.
7. Hari ini, saya sudahpun mendirikan rumahtangga dan dikurniakan seorang putera lelaki, Umar Mujahid bersama pasangan saya Nor Izzatul Adyani.
8. Saya pun tidak dapat tahu di mana saya akan berada pada posisi berikutnya, melainkan saya mampu berdoa agar Allah tempatkan saya pada kedudukan yang Allah muliakan.
9. Sudah serata pelosok negeri Terengganu saya sudah bergerak menyampaikan taklimat dan ceramah berkaitan dengan ilmu zakat. Pengalaman berinteraksi dengan pelbagai ragam masyarakat sama ada di jabatan kerajaan, sektor swasta, syarikat-syarikat besar atau perseorangan sangat berguna buat saya.
10. Dan saya juga dapati perlbagai peluang dan ruang yang saya fikir amat berguna untuk saya berikan perhatian. Dengan pelbagai selok belok dan latar belakang masyarakat saya jumpa, menjadikan saya semakin insaf pada kekurangan diri yang ada dan betapa besarnya amanah agama yang perlu digalas.
11. Perkara yang menjadi perhatian saya adalah dakwah. Bukan hanya tertumpu kepada mengajak manusia kepada berzakat semata-mata. Ia merangkumi keseluruhan perkara yang penting dalam agama. Maka saya dapati manusia ramainya meruntuhkan perkara-perkara rukun seperti solat, ukhuwah persaudaraan, ilmu dan sebagainya. Dengan rencam kehidupan yang pelbagai mehnah dan tribulasi melanda umat Islam, baik dari dalam mahulupun luar negara menjadikan kita perlu sentiasa berwaspada akan urusan umat Islam sekarang ini.
12. Terima kasih kepada sahabat-sahabat saya di luar sana yang telah membentuk diri saya sejak dari alam kampus. Pendedahan kepada kegiatan dakwah menjadikan saya semahunya setiap hari apa perlu saya lakukan untuk umat. Sama ada daripada keluarga, jiran tetangga, rakan taulan, rakan sekerja, penduduk kampung dan sebagainya yang merupakan tanggungjawab saya juga.
13. Doakan saya semoga berjaya dan mendapat pertolongan daripada Allah untuk mencapai hasrat saya. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment