Hukum Perdagangan
Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex)
Melalui Platfom Elektronik
Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum
Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual
Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik. Muzakarah telah membuat keputusan
seperti berikut:
Setelah
mendengar taklimat dan penjelasan pakar daripada Akademi Penyelidikan Syariah
Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) serta meneliti keterangan, hujah-hujah
dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan
pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual
spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu
mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay
al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat
khusus bagi Bay al-Sarf seperti berikut:
Syarat-syarat
umum jual beli:
- Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud);
- Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad;
- Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli;
- Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.
Syarat-syarat
khusus Bay al-Sarf:
- Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;
- Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
- Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart.
Selain
memenuhi syarat-syarat tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi
perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada
sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay (pemberian hutang dengan
syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan
dan kezaliman atau eksploitasi.
Berdasarkan
kajian terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan
pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual
spot forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba
melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam
pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika
transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan
spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi
undang-undang Kerajaan Malaysia.
Sehubungan
itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang
asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex)
melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia
bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang
negara. Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri
dalam perdagangan mata wang seumpama ini.
Muzakarah
juga menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas
urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang
berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh
institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.
Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-perdagangan-pertukaran-matawang-asing-oleh-individu-secara-lani-individual-sp
Pesanan Admin: Jika difatwakan HARAM, maka tidak boleh dikeluarkan ZAKAT atas alasan zakat untuk menyucikan harta. Rujuk surah al Baqarah:261, infaq dari sumber yang baik-baik sahaja.
No comments:
Post a Comment