Tatkala berita tentang wafatnya Rasulullah saw
sampai kepada para sahabat, maka terjadilah kegoncangan yang dahsyat di hati
mereka. Wafatnya Rasulullah saw merupakan kegoncangan bagi sebahagian besar
kaum muslimin, khususnya Umar Al Khattab ra.
Mengenai hal ini, Abu Hurairah menceritakan :
“Pada ketika Rasulullah saw wafat, Umar
berdiri di hadapan kaum muslimin sambil mengatakan:
“Orang-orang munafik mengira bahawa Rasulullah
saw telah meninggal dunia. Ketahuilah, Rasulullah tidak meninggal, tetapi baginda
sedang pergi menghadap Tuhannya sebagaimana dahulu Musa bin Imran. Musa pernah
meninggalkan kaumnya selama 40 hari, kemudian beliau kembali kepada keumnya
setelah mereka mengira bahawa beliau telah meninggal. Demi Allah, Rasulullah
akan kembali sebagaimana dahulu Musa kembali kepada kaumnya. Aku bersumpah,
akan kupotong tangan dan kaki mereka yang mengatakan Rasulullah telah wafat!”
Tidak lama kemudian, Abu Bakar datang dan
mendapati Umar di pintu masjid sedang bercakap di hadapan kaum Muslimin yang
tengah berkumpul. Abu Bakar langsung masuk ke rumah puterinya, Aisyah r.a.
Ketika itu, jenazah Rasulullah saw telah dibaringkan di sudut rumah dan
ditutupi dengan sehelai kain. Abu Bakar membuka kain yang menutupi wajah
Rasulullah dan menciumnya sambil menitiskan air mata. Kemudian Abu Bakar
mengatakan,
“Demi Allah, Allah tidak menghimpunkan untukmu
2 kematian. Kematian yang pertama telah ditakdirkan Allah untukmu. Setelah itu,
engkau tidak akan ditimpa kematian untuk selama-lamanya.”
Kemudian, Abu Bakar mentutup kembali wajah
Rasulullah saw lantas keluar daripada rumah. Dan, Umar Al Khattab masih terus
bercakap di hadapan kaum muslimin. Abu Bakar meminta Umar supaya diam, tetapi
Umar Al Khattab tidak mengendahkan. Umar tetap sahaja bercakap di hadapan kaum
muslimin.
Melihat Umar yang terus bercakap, Abu Bakar
berpidato di hadapan kaum muslimin. Kaum muslimin akhirnya beralih mendengarkan
perbicaraan Abu Bakar dan meninggalkan Umar. Di hadapan mereka, Abu Bakar
memulai pidatonya dan memanjatkan puji dan syukur kepada Allah swt, kemudian
beliau mengatakan,
“Wahai sekalian manusia, sesiapa yang
menyembah Muhammad, maka ketahuilah bahawa Muhammad telah meninggal dunia.
Barangsiapa yang menyembah Allah, maka ketahuilah bahawa Allah Maha Hidup dan
Dia Tidak Mati!” Kemudian Abu Bakar membaca firman Allah:
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang
Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau
terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu
berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik
(menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah
sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada
orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
(Al-Imran:144)
Abu Hurairah kemudian menceritakan ,
“Demi Allah, ketika itu kaum muslimin
seolah-olah belim pernah mengetahui bahawa ayat itu telah turunm sehinggalah
Abu Bakar membacakannya. Mereka menerima bacaan itu dari Abu Bakarm padahal
ayat itu sudah mereka hafaz.
Kemudian Umar Al Khattab berkata,
“Demi Allah, setelah aku mendengar Abu Bakar
membacakan ayat itu, aku sedar dari kelalaian disebabkan gelojak hatiku hingga
aku jatuh tersungkur di atas tanah, dan aku tidak berkuasa utuk melangkahkan
kedua kakiku. Setelah itu, aku sedar bahawa Rasulullah saw telah meninggal
dunia.” [HR. Bukhari]
Dr. Ali Muhammad As-Shallabi; Amirul Mukminin:
Umar bin Khattab, Kepimpinan dan Kewibawaannya. [m/s 91-93]
No comments:
Post a Comment