Kembali Ke Laman Utama

Tuesday, June 7, 2011

Mengenali Jibril Melalui Penjelasan Waraqah

Di antara perkara yang berlaku kepada Nabi Saw setelah bertemu dengan malaikat Jibril di Gua Hira’. Bahawa Nabi Saw merasa gerun dan cemas dan ketakutan yang amat sangat. Sehingga Nabi Saw bergegas meninggalkan Gua Hira’ dan pulang menemui isterinya dalam keadaan menggigil dan terketar-ketar sekujur badannya. Mengapakah suasana demikian terjadi kepada Nabi Saw?

Ini membuktikan bahawa Nabi Saw pergi ke Gua Hira’ semata-mata hendak mengheningkan jiwa dari suasana masyarakat Quraisy Makkah yang berserabut dengan gejala social seperti gejala minum arak, zina, judi, bunuh anak perempuan dan pelbagai lagi.

Sekali-kali tidak terbayang dalam fikiran Nabi bahawa beliau akan didatangi oleh suatu makhluk yang tidak dikenali (malaikat Jibril) dan seterusnya menerima wahyu, sedangkan beliau sendiri tidak tahu siapaka gerangan makhluk luar biasa yang belum pernah ditemui itu. Nabi mengetahui bahawa makhluk itu adalah malaikat Jibril setelah diberitahu oleh Waraqah bin Naufal.

Situasi cemas itu hendak membuktikan kepada manusia seluruhnya bahawa kenjungan Nabi Muhammad Saw ke Gua Hira’ tidak mempunyai niat untuk mendapatkan sesuatu yang pelik, jauh sekali bercita-cita hendak menjadi nabi.

Dalil atau hujahnya ialah sekiranya Nabi Muhammad Saw berhajat menjadi nabi ketika Jibril datang menemuinya dan membacakan wahyu pertama itu, maka sudah sewajarnya Muhammad Saw tidak merasa takut. Selayaknya Muhammad Saw dudul menunggu pembacaan wahyu seterusna dengan tenang hati ketika Jibril masih berada di Gua Hira’, kalau perlu dibacakan lagi wahyu seterusnya kerana sekadar wahyu pertama tentulah tidak mencukupi.

Sedangkan tuduhan golongan Mutasyarikin seolah Muhammad Saw mencipta wahyu hasil dari pemikiran sendiri, ini menggambarkan Muhammad terlalu berhajat hendak menjadi nabi. Sebaliknya, apa yang terjadi ialah selepas dibacakan ayat “Iqra’” di Gua Hira’ itu, Muhammad Saw menyangka bahawa makhluk “jin” yang menemuinya di Gua Hira’, Nabi bimbang kalau-kalau jin itu akan membinasakan dirinya sebagaimana yang diceritakan kepada isterinya Khadijah.

Secara mendadak Jibril ke Gua Hira’ menemui Muhammad yang sedang beruzlah, padahal baginda Saw tidak pernah menaruh sebarang hasrat untuk bertemu dengan malaikat. Justeru pertemuan itu adalah suatu ketentuan Allah SWT yang memilih Muhammad Saw sebagai manusia pilihan untuk memikul tanggungjawab sebagai Rasulullah.

Golongan Mutasyarikin mendakwa bahawa wahyu itu adalah cetusan jiwa ataupun ilham yang muncul dari hati Muhammad Saw. Persoalannya, adakah munasabah bahawa ilham yang mereka maksudkan itu datang dalam suasana cemas ketakutan akibat pelukan Jibril?

Tidak mungkin orang yang sedang dalam keadaan ketakutan sehingga pucat bibir dan tubuh menggigil dingin akibat dipeluk oleh suatu lembaga di dalam gua, boleh menerima ilham seperti yang didakwa oleh golongan Mutasyarikin itu. Wajah pucat yang menggigil ketakutan bukannya boleh dibuat-buat, melainkan atas sebab-sebab yang munasabah.

Orang-orang seni yang selalu dikaitkan dengan ilham, mereka mencari ilham di tempat yang hening dan damai dalam suasana yang nyaman. Mereka kadangkala berkunjung ke pantai mendengar desiran ombak, di tebing sungai yang airnya mengalir jernih atau di bawah pepohon yang rimbun menghijau sambil menikmati kicau burung yang hinggap de celah-celah ranting.

Suasana demikianlah yang munasabah dikatakan boleh menimbulkan ilham, apabila mereka mendapat ilham seperti yang diharapkan sedah pasti hati mereka merasa riang gembira. Mustahil dalam keadaan takut dan cemas serta bimbang aras keselamatan diri, tiba-tiba ia didakwa memberi ilham. Dengan demikian, dakwaab golongan Mutasyarikin yang mengatakan Muhammad Saw mendapat ilham, melalui ilham itulah mereka dakwa sebagai wahyu adalah tertolak, kerana ia bercanggah dengan reality logik akal manusia yang waras.

Wakau apapun yang perlu difahami bahawa segala dakwaan Mutasyarikin (Orientalis) adalah bertujuan menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam, golongan itu tetap meneruskan kerja-kerja jahat itu. Mereka terus melintarkan pelbagai tuduhan dan anggapan yang menimbulkan keraguan ; mereka kata bahawa Islam itu ketinggalan zaman, ekstrim, pecah belah, pelampau dan pelbagai lagi.

Justeru itu kewajipan umat Islam terutama para ilmuannya mesti menjawab tuduhan-tuduhan tersebut, jika dibiarkan sahaja tanpa menjawab beerti dosa. Islam menganjurkan agar persoalan seperti itu dijawab melalui pengetahuan yang sempurna mengenai “Sirah Nabi”, terutamanya menjawabnya dengan Al-Quran. 

Dipetik daripada: Buku Sirah Nabawiyyah, Insan Teladan Sepanjang Zaman, Oleh Tuan Guru Betara Mulia, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

1 comment:

  1. Rasanya malaikat Jibril menjelma dalam bentuk apa ketika Nabi lari2 turun gua dalam ketakutan?

    ReplyDelete

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...