Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 27, 2011

Abu Ayub Al-Ansari Bahagian 1

Nabi Muhammad berkata, “Kebaikan generasi pertama umat ini kerana adanya sifat syahid dan keimanan yang kuat dan binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan banyak berangan-angan.”
-Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim-

“Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-51 H. ketika itu zaman pemerintaan Khalifah Muawwiyah bin Abu Sufian.” Syeikh Syamsuddin al-Wali memulakan ceritanya.

Muawwiyah bercita-cita hendak menakluk Constantinople. Dia mahu membuktikan hadis Nabi Muhammad Saw itu berlaku semasa pemerintahannya. Bagi menjayakan cita-citanya itu, dia melantik anaknya Yazid bagi memimpin pasukan tentera Islam seramai 150,000 orang. Apabila Abu Ayub al-Ansari mendengar berita itu, dia memohon menyertainya.

“Tuan sudah terlalu tua mahu pergi berperang. Lebih baik tinggal sahaja di sini.” Muawwiyah seperti memperlekehkan keinginan sahabat Nabi Muhammad saw itu.

“Saya mehu mendapatkan syahid. Sesungguhnya pintu syahid itu terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia,” tegas Abu Ayub al-Ansari.

“Tidakkah tuan nanti membebankan tentera Islam?” tanya Bashar, pembantu Muawwiyah pula.

“Saya masih kuat berjalan jauh. Pengalaman saya berperang bersama-sama Rasulullah saw tentu berguna kepada tentera Islam bagi menawan Kota Constantinople,” jawab Abu Ayub Al-Ansari.

“Dia lelaki yang dihormati orang ramai. Kehadirannya pasti dapat menaikkan semangat tentera kita yang berperang,” kata Yazid, anak Muawwiyah pula.

“Saya berperang hanya bagi mendapat keredhaan Tuhan . saya tidak menuntut apa-apa bayaran dari khalifah,” kata Abu Ayub Al-Ansari.

“Muawwiayh tidak lagi dapat menolak permintaan lelaki yang sudah berumur 81 tahun itu. Tambahan pula dia sangat dihormati oleh orang ramai kerana pernah menjadi sahabat Nabi. Sewaktu Rasulullah saw berhijrah ke Madinah dahulu, di rumah Abu Ayub Al-Ansari baginda tumpang bermalam. Sahabat Nabi Muhammad saw itu juga menyertai setiap peperangan bersama baginda.

Keinginan Abu Ayub Al-Ansari mahu bersama-sama tentera Islam menakluk Kota Constantinople menggembirakan orang ramai. Namun ada juga yang kurang senang hati kerana menganggap kehadiranyya bakal menimbulkan banyak masalah. Tambahan pula dia sudah terlalu tua bagi berperang.

“Wahai Abu Ayub, apakah tuan tidak merasa terhina apabila Muawwiyah melantik puteranya Yazid yang masih muda memimpin tentera Islam bagi menakluk Kota Constantinople?” tanya seorang tentera semasa mereka sedang dalam perjalanan ke medan perang.

Saya tidak berkecil hati walau sesiapapun yang memimpin kerana saya keluar berjihad pada jalan Allah. Dan saya sanggup meninggalkan keluarga dan segala yang tercinta kerana mahu memburu syahid,” tegas Abu Ayub Al-Ansari.

“Ada yang berpendapat orang tua seperti tuan sepatutnya duduk di rumah beramal ibadat menunggu kedatangan malaikat maut,” kata lelaki itu lagi.

“Saya sudah melihat banyak kematian di kalangan orang muda seperti kamu. Tetapi kamu tentu jarang melihat kematian orang tua seperti saya,” balas Abu Ayub Al-Ansari. Pemuda itu terdiam dan tidak berani berkata-kata lagi.

Apabila tiba di Constantinople, tentera Islam bergabung dengan pasukan tentera dari Mesir diketuai oleh Uqbat bin Amir dan dari Syam pula diketuai oleh Fudalah bin Ubaid. Jumlah mereka bertambah ramai hamper 200,000 orang. Timbul rasa megah di kalangan tentera Islam. Mereka berkata, “Pasukan yang ramai ini pasti dapat menakluk Kota Constantinople dengan mudah.”

Mendengar kara-kata itu, Abu Ayub Al-Ansari berkata, “Dalam Perang Badar jumlah tentera Islam sedikit tetapi mereka berjaya mengalahkan tentera Islam yang ramai. Tetapi dalam Perang Hunain, jumlah tentera Islam begitu ramai tetapi mereka tidak dapat mengalahkan musuh. Kerana itu janganlah kamu berasa megah dengan jumlah yang ramai.”

Kedatangan tentera Islam sampai ke pengetahuan Maharaja Constantinople. Baginda memerintahkan tenteranya supaya bersiap-sedia dengan segala kelengkapan senjata yang ada bagi mempertahankan kota mereka. Apabila tentera Islam tiba, mereka disambut dengan anak-anak panak dan lontaran bola-bola api menyebabkan ramai yang syahid. Mereka bagaikan kelopak bunga mekar yang jatuh berguguran ditiup angina. Melihat ramai tenteranya yang gugur, Yazid terpaksa menyuruh tenteranya berundur menjaukan diri dari kota supaya tidak terkena senjata musuh itu. Apabila tentera Islam berundur, tentera Rom semakin bersemangat mengalahkan lawannya. Mereka membuka pintu kota lalu keluar beramai-ramai bagi memerangi tentera Islam. Berlaku pertempuran yang sangat sengit sehingga ramai yang terbunuh daripada kedua-dua belah pihak.

Apakah nasib peperangan umat Islam dalam misi penaklukan bersejarah ini? Mampukah mereka menumpaskan lawan dengan kekuatan besar untuk merempuh “Kota Strategik” tersebut? Bersambung bagi episod seterusnya “Abu Ayub Al-Ansari Bahagian 2”.

Sumber: Buku Novel Islam:Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Constantinople, Abdul Latip Talib

No comments:

Post a Comment