
2 sifat agung menghiasi peribadi Umar Alkhattab. Pertama, beliau seorang yang amat tegas berpegang kepada agama. Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi menegaskan, “Wahai Ibn Khattab, demi Allah, tidaklah kamu berjalan di suatu lorong melainkan syaitan memilih lorong yang lain.”
Kedua, sikap beliau yang berani demi kebenaran. Sikap ini banyak membantu Islam di Mekah kerana pada peringkat awal perkembangan Islam, Islam tersebar secara sembunyi-sembunyi. Selepas Umar memeluk Islam, beliau kurang selesa dengan pendekatan itu. Beliau berpendapat, mereka yang berada di atas kebenaran tidak perlu bimbang dan takut kepada ancaman manusia. Lantas beliau meminta izin kepada Nabi supaya mengizinkan umat Islam mengisytiharkan keislaman mereka dan Nabi mengizinkannya. Maka umat Islam keluar menuju ke Masjidil Haram untuk bersolat dalam dua barisan, satu dipimpin oleh Umar dan yang satu lagi dipimpin oleh Hamzah. Kerana sikap Umar ini, Nabi menggelar beliau sebagai Al-Faruq yang bermaksud “Yang Memisahkan Antara Kebenaran dan Kebatilan.” Kisah ini dilaporkan Imam Jalaluddin As-Suyuti di dalam Tarikh Al-Khulafa.
Justeru berpegang teguh dan bersifat tegas terhadap agama serta berani menyatakan yang hak adalah lambing kehormatan. Pada masa yang sama ia adalah kekuatan yang memacu manusia ke arah kejayaan di samping berpotensi meledakkan kebenaran ke segenap pelosok dan penjuru alam.
Petikan daripada Minda Muslim Super, Oleh Dr. Danial Zainal Abidin M/s 370-371 terbitan PTS.
No comments:
Post a Comment