Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, November 5, 2010

Hidayah Bahagian 2


“Saya adalah ketua paderi di Kota Constantinople. Saya suka membaca kitab termasuk kitab hadis. Saya terjumpa sebuah hadis yang ada kaitannya dengan kaum Bani Israel. Kerana itu saya datang ke sini berbincang dengan ulama-ulama tuanku mengenai hadis itu,” jawab Zaqhanus. Dia yakin rancangannya pasti berjaya.

“Sekiranya hanya mahu berbincang sebuah hadis, cukup saya panggil seorang ulama sahaja. Menngapa perlu dikumpulkan ramai ulama?” kata Sultan Muhammad al-Fateh.

“Tuanku sudah lupakah sejarah Nabi Musa dengan Firaun? Apabila Nabi Musa hendak menunjukkan mukjizatnya maka disuruhnya memanggil semua tukang sihir yang ada di negeri Mesir supaya berkumpul di istana Firaun,” kata Zaqhanus pula.

Adakah engkau anggap diri engkau sebagai Nabi Musa dan sultan kami sebagai Firaun?” herdik Panglima Tharhan sambil menghunus pedangnya.

“Kami datang hendak berbincang mengenai sebuah hadis nabi kamu, Muhammad. Bukan hendak berperang,” kata Zaqhanus pula.

“Baiklah saya setuju,” kata Sultan Muhammad al-Fateh lalu menyuruh panglima Tharhan menjauhi Zaqhanus.

“Tuanku perlu panggil semua ulama yang hebat kerana saya hendak berhadapan dengan mereka. Perkara ini amat penting kerana ada kaitannya dengan hadis nabi tuanku dan kaum Bani Israel.”

“Adakah kamu hendak berdebat mengenai hadis itu dengan ulama-ulama kami?” tanya Sultan Muhammad al-Fateh pula.

“Bukan berdebat tetapi hendak mencari kebenaran mengenai sebuah hadis tuanku,” jawab Zaqhanus bersungguh-sungguh.

“Hadis yang mana satu?” tanya Sultan Muhammad lagi.

“Saya hanya akan membacakan hadis itu selepas semua ulama handalan tuanku berkumpul di sini,” jawab ketua paderi itu sambil tersenyum.

“Lebih baik kita jangan layan permintaan mereka. Suruh mereka keluar dari sini segera,” bisik Khalil Pasya, Perdana Menteri Sultan Muhammad al-Fateh.

Namun Sultan Muhammad walaupun masih muda tetapi bijak dan berpandangan jauh. “Mereka hendak berbincang mengenai hadis dengan ulama-ulama kita. Sekiranya kita menolak, kita dituduh penakut. Kerana itu ada baiknya kita tunaikan permintaan mereka.”

Akhirnya mereka bersetuju dengan permintaan ketua paderi itu. Sultan Muhammad al-Fateh memerintahkan ulama-ulama terbilang berkumpul di istana. Kemudian paderi itu bertanya, “Saya terbaca sebuah hadis mengatakan, ulama-ulama di kalangan kamu seperti nabi-nabi Bani Israel. Adakah itu hadis yang benar ataupun hadis palsu?”

“Hadis itu adalah hadis sahih. Memang pernah diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w,” jawab seorang ulama yang hadir.

“Ketua paderi itu tersenyum lalu berkata, “Di kalangan Bani Israel ada Nabi Isa yang boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Sekiranya benar ulama-ulama kamu seperti nabi-nabi Bani Israel maka cuba hidupkan orang yang mati!”

Semua yang hadir terdiam. Masing-masing tidak berani bersuara. Melihat keadaan itu, ketua paderi itu menjadi semakin angkuh. Dia mengulangi kata-katanya, “Saya terbaca sebuah hadis daripada nabi kamu Nabi Muhammad yang mengatakan, ulama-ulama di kalangan kamu seperti nabi-nabi Bani Israel. Baiklah di kalangan Bani Israel ada Nabi Isa yang boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Sekiranya benar seperti kata nabi kamu, dimana ulama-ulama kamu yang boleh menghidupkan orang yang mati?”

Suasana senyap seketika. Orang ramai menjadi bungkam. Ulama-ulama yang hadir, semua menundukkan kepala.

“Cepat sambut cabaran itu! Jangan kamu berdiam diri. Tunjukkan kebolehanmu!” kata Sultan Muhammad al-Fateh.

Begitu berat cabaran yang diberikan oleh paderi tersebut hingga hadis ucapan nabi menjadi taruhan kepada sekalian ulama tersebut. Apakah kali ini Sultan Muhammad bakal menerima malu jika tidak menunaikan hasrat tersebut, dan jika tidak apakah selanjutnya yang terjadi. Maka nantikan kemunculan sambungan yang mendebarkan ini di “HIDAYAH BAHAGIAN 3”.

Rujukan.:Buku Novel Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh, Penakluk Contantinople, Abdul Latip Talib

No comments:

Post a Comment