Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, September 11, 2010

Sultan Muhammad al-Fateh

Muhammad digelar al-Fatih lantaran kejayaan baginda membuka serta menakluk kotaConstantinople yang berjalan dibawah beberapa misi penaklukan sejak zaman para sahabat r.a lagi selama 800 tahun.
Insan hebat ini ditakdirkan kelahirannya pada 30 Mac1423M di Edirne  (Adrianople) dan wafat pada 3 Mei 1481M. Baginda merupakan pemerintah  Empayar Uthmaniyyah dari tahun 1444M- 1446M dan kemudiannya dari tahun 1451M ke 1481M. Baginda menakluk Constantinople ketika umur 21 tahun,pada usia yang sangat muda sehingga membenarkan apa yang pernah diucapkan Rasulullah saw kepada kehancuran Empayar Byzantine di tangan umat Islam.
Muhammad II dilahirkan di Edirne(Adrianople)  yang pada masa itu dijadikan ibu kota kerajaan Uthmaniyyah pada 30 Mac 1432. Ayahnya bernama Sultan Murad II (1404–1451) yang juga mempunyai impian agar Constantinople akan jatuh ditangannya kelak. Namun, takdir Allah menetapkan segala-galanya bahawa anaknya jualah yang bakal menggoncang kekuatan tembok kota Constantinople yang kukuh itu.
Muhammad merupakan seorang sultan yang mengutamakan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Baginda mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan yang diajarkan oleh bapa saudaranya Panglima Tharhan, selain ilmu sains, matematik dan menguasai enam bahasa (bahasa Turki,Greek, Hebrew,Arab, Parsi dan Latin) pada ketika mudanya.
Zaman kecilnya yang penuh kenakalan, baginda pernah dirotan oleh gurunya. Bukanlah sesuatu yang mudah menjinakkan kenakalan baginda kerana sudah banyak ulama yang tewas kerana baginda enggan.Namun, anak muda yang memiliki wajah yang tampan sejak kecil ini menerima tarbiyyah yang cukup baik daripada alim ulama sepanjang hidupnya.Prasyarat guru yang menjadi murabbi Sultan Muhammad kepada ayahandanya untuk merotannya menjadi petanda bahawa tugas menkaderkan seorang penakluk Constantinople ini sangat serius.
Baginda seorang pemimpin yang hebat, warak dan tawadhuk. Selain tokoh lipatan sejarah Islam sebelumnya seperti Sultan Salahuddin al-Ayubi (pahlawan Islam dalam Perang Salib) dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (pahlawan Islam dalam peperangan di Ain Jalut menentang tentera Mongol). Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw:

"Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera. ”
Baginda Sultan Muhammad walaubagaimanapun akhirnya membuat perancangan yang sangat menakjubkan dan direkodkan dalam setiap tamadun selepasnya. Seorang sejarawan Byzantium mengagumi baginda sehingga melafazkan bahawa,
“Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal yang ajaib seperti ini, Muhammad al-Fateh sudah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad al-fateh dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!”
Sepanjang misi penaklukan Constantinople, Sultan Muhammad menunjukkan izzah terhadap pihak musuhnya dengan beberapa kali menggertak lawannya dengan kemampuan meriamnya yang bukan sahaja mampu menghancurkan kota tembok tersebut malah gunung juga katanya. Banyak sekali ucapan baginda yang memperlihatkan ketokohan baginda untuk berdepan lawan yang lebih berusia daripada baginda. Inilah jiwa anak muda yang memiliki jiwa yang besar.

Strategi baginda juga dengan percaturan yang sangat rapi dalam apa jua tindakan baginda. Daripada jumlah tentera seramai 500 000 orang, cuma 250 000 orang sahaja yang dibawa setelah penapisan yang sangat ketat terhadap amal ibadah selain kemahiran mereka. Dan hanya 80 buah kapal perang sahaja yang dibawa sedangkan kapal perangnya berjumlah 200 buah. Apabila ditanya mengapa baginda bertindak sedemikian, baginda menjawab, “Tentera yang dihantar ke Constantinople itu adalah tentera pilihan terbaik,apabila tentera terbaik berperang, bantuan Tuhan akan tiba,”.
Setiap khemah tentera baginda sentiasa menjadikan malamnya sebagai waktu beribadah. Tentera-tentera baginda diberitakan sebagai “Panglima disiang hari, Ahli Ibadah dimalam hari”. Kekuatan rohani dan motivasi sering diberikan kepada tenteranya kerana musuh yang dihadapi bukanlah calang-calang musuh sehinggakan pendeta-pendeta mereka turut memberikan fatwa wajib berjihad. Sudut kekuatan seimbang tidak mungkin dapat dinilai pemenangnya sekiranya faktor bantuan Allah dan kekuatan ruhiyyah yang tinggi di kalangan tentera baginda.
Lantas, setiap usaha yang diambil oleh baginda untuk mengecapi kemenangan bukanlah sesuatu yang percuma kerana baginda juga membayarnya dengan semangat jihad dan sanggup berkorban dari kalangan tentera-tenteranya.

Ini terbukti melalui usaha Hasan Ulubate, salah seorang tenteranya yang sanggup menerima puluhan anak panah yang melekat ditubuhnya sewaktu memacakkan bendera di kota pertahanan tersebut selain tentera-tenteranya yang syahid dilautan, hangus cairan logam dan bakaran api dan sebagainya.
Ulama sebagai murabbi dan naqib hidupnya, dan bukanlah harta kemewahan ataupun pramugari mahupun dayang-dayang istana sebagai penemannya menjadikan hidupnya sentiasa bersifat tawakkal yang tinggi. Biarpun ratusan ribu tentera bantuan dari Eropah sedang dalam perjalanan, baginda tetap yakin terhadap janji Allah bahawa Kota Constantinople bakal ditakluki. Sehinggalah alamat kemenangan tiba melalui firasat murabbinya, Syeikh Syamsuddin al-Wali, baginda melakukan operasi terhebat ketahap maksimum untuk menagih janji yang pernah dilafazkan oleh Rasulullah saw.
Akhirnya kota yang bermandikan darah syuhada dapat ditakluk setelah 53 hari bertempur. Tentera bantuan luar daripada Genoa dapat dihalang dengan penaklukan lembah Lycos di barat kota Constantinople.
Sewaktu hendak menunaikan solat jumaat, timbul pertanyaan siapakah yang layak mengimaminya. Baginda mencadangkan naqibnya Syeikh Syamsuddin al-Wali, namun ditolaknya dengan baik atas alasan dia sudah tua.
Lantas Syeikh Syamsuddin mencadangkan agar dicari orang yang lebih bertakwa dikalangan mereka. Baginda Sultan Muhammad menyuruh semua tenteranya berdiri lalu berkata, “Siapakah di kalangan kalian yang pernah meninggalkan solat fardhu 5 waktu silakan duduk!” namun tiada seorangpun yang duduk. Kemudian baginda berseru lagi, “Siapakah yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib silakan duduk,” separuh daripadanya duduk. Lalu baginda bertanya lagi, “Siapakah diantara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat tahajjud, silakan duduk!” kesemuanya duduk kecuali seorang yang berdiri, iaitu Sultan Muhammad sendiri!
“Tuankulah yang paling layak menjadi imam,” kata naqibnya.
Lihatlah, betapa benarnya sabda Rasulullah saw, bahawa orang yang menakluk kota Constantinople merupakan ketua yang terbaik serta memiliki tentera yang terbaik!
Ayuh wahai pemuda pemudi di jalan dakwah, sedarlah, kemenangan yang ingin kita kecapi seharusnya mengikut plot cerita sebegini yang memerlukan pengorbanan yang cukup tinggi dengan serahan jiwa dan tenaga disamping memiliki petunjuk yang kuat dalam amal ibadah terhadap Allah swt.
Sekian.
Sumber:
Buku Novel : Sultan Muhammad Al-Fateh, Penakluk Konstantinople

No comments:

Post a Comment