Malam tenang, ketika mana manusia sedang lena, bangkitlah seorang lelaki menyingkirkan selimutnya dan berjalan menyusuri jalan-jalan yang sepi dalam kesejukan malam.
Dia tidak boleh tidur kerana khuatir kalau-kalau ada musafir terlantar yang tidak menemui tempat penginapan, orang sakit yang memerlukan ubat, dan orang kelaparan yang tidak menemui sesuatu untuk mengalas perutnya. Dia begitu khuatir jikalau ada urusan rakyat yang diabaikannya. Bahkan dia merasa bertanggungjawab terhadap seekor keldai yang tergelincir di tepi Sungai Furat.
Itulah dia Amirul Mukminin, Umar bin al-Khattab!
Lama sekali Umar menghabiskan malamnya dengan mengelilingi sekitar tempat. Perasaan letih membawanya ke sebuah tembok rumah kecil di hujung Kota Madinah untuk bersandar. Baginda berehat sebentar sebelum meneruskan langkahnya yang tidak jauh lagi menghampiri Masjid Nabawi.
Diantara sayup-sayup suara binatang malam, kedengaran suara 2 wanita di dalam sebuah rumah kecil. Perbicaraan sedang berlaku diantara seorang ibu dan puterinya.
“Campurkan susu itu dengan air!” kata si ibu.
“Amirul Mukminin , melarang susu campuran. Apakah ibu tidak mendengar dia melarang perbuatan itu?” ujar si anak.
“Umar tidak melihat kita. Dia tidak mungkin mengetahui perbuatan kita di penghujung waktu malam ini..” jawab si ibu.
“Wahai ibu, seandainya Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar melihat kita. Sungguh demi Allah, saya tidak akan melakukannya. Allah juga melarang perbuatan itu!”
Pernyataan itu menyejukkan hati Umar. Jawapan yang memadukan kejujuran dan keimanan, ketaatan kepada Allah dan perasaan diawasi oleh-Nya. Umar bergerak menuju Masjid untuk menunaikan solat bersama para sahabat r.a. sekembalinya pulang ke rumah, kata-kata itu masih terngiang-ngiang dibenaknya,”Seandainya Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar melihat kita”.
Umar memanggil ‘Ashim, puteranya yang ingin berkahwin, lalu menyarankan supaya mengunjungi rumah gadis itu seraya menceritakan apa yang telah didengarnya.
“Wahai anakku, pergilah dan nikahilah dia. Aku tidak melihatnya kecuali mendapatkan keberkatan. Semoga dia melahirkan anak yang memimpin Arab.”
‘Ashim menikahi gadis miskin yang warak itu. Namanya Ummu Ammarah binti Sufyan bin Abdullah bin Rabiah ats-Tsaqafi. Daripada perkahwinan itu lahirlah puteri mereka bernama Laila dengan panggilan Ummu ‘Ashim. Ummu ‘Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan. Hasil pernikahan mereka inilah yang melahirkan Umar bin Abdul Aziz, seorang khalifah yang zuhud, bertaqwa dan warak.
Dalam diri Umar bin Abdul Aziz mengalir darah Umar bin Al-Khattab.Umar Al-Khattab, khalifah kedua selepas Abu Bakar As-Siddiq, manakala Umar Abdul Aziz pula khalifah ke-8 Bani Umayyah di Damascus.
Sumber olahan: Belajar Dari Dua Umar; Kenyangkan Perut Rakyat (Hepi Andi Bustani)
No comments:
Post a Comment