Mengagumkan apabila seorang rakyat berkata apabila diancam oleh sebuah kuasa besar. “Kami tidak takut kerana kami meminta perlindungan daripada Sultan Murad. Tentera Islam pasti menjaga keselamatan kami.” Kelakar pula rasanya apabila pemimpin Konstantinople itu menghantar senyap-senyap 1000 tentera pada waktu malam dengan hanya berbekalkan penukul besi sahaja untuk membuat kerja-kerja sabotaj di atas pembinaan Rumeli Hisarri, sebuah tembok yang menggetarkan baginda kerana tebing itulah nanti yang akan menyekat kapal-kapal berlabuh di pelabuhan Konstantinople. Kenapa perlu ragu-ragu mengisytiharkan sahaja peperangan seperti yang biasa dibuat oleh pemimpin kuasa besar masa kini?
Konstantinople bukanlah calang-calang kekuatannya. Ia adalah kubu yang paling strategik di dunia. Jikalau tidak mana mungkin maharajanya boleh berkata. “Jikalau seluruh dunia ini adalah negara, maka Konstantinople sahaja yang layak menjadi ibu negaranya”. Tetapi semua itu tidak sedikit pun menambah gerun di kalangan pemimpin Empayar Uthmaniyyah. “Beritahu maharaja kamu, kami bersedia berperang pada bila-bila masa sahaja.”
Begitu penting penawanan Konstantinople buat umat Islam. Masing-masing berebut mahu merealisasikan kata Rasulullah. “Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera dan rakyatnya adalah sebaik-baik rakyat”. Sahabat Nabi, Abu Ayyub Ansari sendiri memohon untuk dikebumikan di benteng Konstantinople dengan alasan. “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinople.” Setelah 800 tahun kata-kata itu diucapkan oleh Rasulullah, akhirnya berjaya direalisasikan oleh pemimpin Khalifah Uthmaniyyah yang ke-7, Muhammad bin Murad. Inilah pemimpin Islam yang diberi gelaran Al-Fateh atau penakhluk.
Selepas menaiki takta pada usia 19 tahun, baginda giat menjalankan perancangan untuk menawan Konstantinople. Setiap malam, baginda mengkaji pelan kota itu. Baginda juga mengarahkan pembinaan benteng Rumeli Hisarri yang lebarnya sama seperti lebar parit yang digali ketika Perang Khandak. Usaha membebaskan seorang Yunani bernama Urban yang dipenjarakan Maharaja Konstantine dibuat bagi membuat senjata tercanggih pada masa itu iaitu meriam. Para tenteranya dihantar ke Pulau Magnesia untuk menjalani latihan ketenteraan berbentuk fizikal dan spiritual. Pernah sekali mereka diuji apabila Muhammad Al-Fateh jatuh sakit dan teringin memakan buah delima. Tetapi para tenteranya tidak dapat memenuhi kehendak baginda kerana tidak mampu memperoleh buah itu secara halal.
Baginda juga menggemparkan barisan tentera dan menterinya dengan idea pemikiran di luar kotak apabila baginda memberi arahan meluncurkan 70 buah kapal yang tersekat di pintu masuk Tanduk Emas ke pelabuhan dengan melalui jalan darat sejauh 3 batu. Konstantinople jatuh ke tangan Islam pada 30 Mei 1453 yang memakan masa selama 53 hari pertempuran.
Sungguh mengasyikkan sekali lembaran sejarah ditampilkan kepada pembaca melalui penulisan kreatif. Abdul Latip Talib sekali lagi berjaya mengolah peristiwa-peristiwa dahulu menjadi sebuah gambaran yang jelas dan mampu dihayati oleh pelbagai golongan pembaca melalui karyanya di dalam Siri Novel Sejarah Islam. Pada kali ini beliau tampil pula dengan Sultan Muhammad Al-Fateh Penakhluk Konstantinople. Gaya penceritaan dan persembahan yang bersahaja ini sentiasa membuatkan pembaca terlalu dekat dengan peristiwa dahulu sehingga boleh merasai setiap detik-detik kehidupan Muhammad Al-Fateh berjuang membebaskan Konstantinople. Pada zaman pemerintahan baginda dibuktikan, kemenangan Islam bukanlah hasil perjuangan seorang indvidu tetapi adalah gabungan hasil perjuangan seluruh umat Islam, pemimpin, tentera dan rakyat. Kemenangan Islam bukan hanya berdasarkan kekuatan semangat sahaja tetapi harus diiringi kekuatan iman, ilmu dan amal.
http://pts.com.my/index.php/blog/ulasan-buku-sultan-muhammad-al-fateh-abdul-latip-talib-oleh-welma-laanda/
No comments:
Post a Comment