Kembali Ke Laman Utama

Saturday, May 8, 2010

LAHIRNYA SEORANG PAHLAWAN


Sultan Muhammad al-Fateh sejak di dalam buaian lagi sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim, Syeikh Syamsuddin al-Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad (ayahanda Sultan Muhammad al-Fateh),


“Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskanKota Constantinople, tetapi anak yang didalam buaian itu,” sambil menunjuk Sultan Muhammad al-Fateh yang masih di dalam buaian.

Malam itu bulan purnama bersinar terang menjadikan malam kelihatan indah dan bercahaya. Namun di istana Sultan Murad suasana diselubingi rasa cemas. Panglima Tharhan sejak dari tadi kelihatan runsing, berjalan ke sana-sini sambil kedua-dua tangannya disilang ke belakang. Sultan Murad juga tidak kurang hebat debaran di hatinya. Malah sekiranya ditimbang kadar debaran yang meledak dalam benak, sudah tentu tahap debaran Sultan Murad lebih kuat kerana debaran menanti kelahiran zuriatnya. Sudah sekian lama baginda menunggu saat itu baru kini menjadi kenyataan.
“Berdoalah semoga kekanda mendapat seorang putera. Adinda tahu mengapa kekanda begitu mengharapkannya.” Sultan Murad bersuara lembut seakan berbisik kepada adindanya, Panglima Tharhan.
“Kekanda memerlukan seorang putera bagi menerajui kepimpinan negara ini suatu hari nanti. Sebab itu saya juga selalu berdoa semoga bayi yang lahir nanti seorang putera,” balas Panglima Tharhan pula.
Sultan Murad senang hati mendengar kata-kata adindanya itu. Baginda dengan Panglima Tharhan adalah adik-beradik yang paling akrab. Sebab itu dia dilantik menjadi ketua panglima tentera. Segala urusan pentadbiran negara diterajui oleh Sultan Murad manakala urusan ketenteraan diserahkan kepada adindanya, Panglima Tharhan.
“Kekanda berdoa semoga Tuhan mengurniakan seorang putera yang cerdas akalnya, petah pertuturannya serta memiliki sifat-sifat seorang pahlawan. Negara kita memerlukan pemimpin seperti itu,” kata Sultan Murad.
“Benar kata kekanda,” balas Panglima Tharhan. “Kita memerlukan seorang pemimpin seperti Salahuddin al-Ayubi yang berjaya menakluki Baitul Muqaddis. Dan sekarang kita perlukan seorang lelaki yang gagah berani bagi menakluk Kota Constantinople.”
“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, Kota Constantinople jatuh ke tangan ketua yang baik, tentera yang baik, dan rakyat yang baik. Bilakah agaknya saat itu datang?
“Percubaan menakluk Constantinople sudah bermula semenjak kerajaan Khalifah ar-Rasyidin. Kemudian dilanjutkan oleh Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyyah. Tetapi semuanya gagal. Sekarang giliran kerajaan Uthmaniyyah pula. Dan kita sudah cuba menawan Kota Constaninople tetapi masih gagal. Mungkin kita ini belum menepati seperti yang disabdakan oleh baginda Rasulullah.”
“Sebab itu kekanda berdoa semoga isteri kekanda melahirkan seorang putera yang berani dan adil seperti Saidina Umar, gagah perkasa seperti Khalid al-Walid dan bijaksana seperti Salahuddin al-Ayubi.”
“Semoga diperkenankan Allah doa-doa kita.” Panglima Tharhan cuba memberi keyakinan sambil tangannya menepuk-nepuk bahu kekanda Sultan Murad.
“Tetapi...bagaimana sekiranya yang lahir nanti seorang puteri?” tanya Panglima Tharhan pula.
“Segala-galanya atas kehendak Allah. Sekiranya itu ketentuanNya, kita perlu redha, pasti ada hikmah yang tersembunyi.”
“Tetapi...”
“Usah banyak bicara lagi wahai adindaku kerana itu boleh menggugah keyakinan dan kepercayaan kita kepada al-Khaliq. Yakinlah Allah maha pengasih  dan maha bijaksana. Dia pasti mendengar apa yang kita doakan kepada-Nya.”
“Benar katamu, kekandaku,” kata Panglima Tharhan lalu tersenyum.
“Kekanda hendak membaca kitab suci al-Quran semoga jiwa kekanda menjadi tenang disaat-saat begini,” kata Sultan Murad.
“Itulah yang sebaiknya,” balas Panglima Tharhan. “Kekanda pergilah bermujahadah dengan Tuhan, biar saya yang menunggu di sini. Apabila kekanda permaisuri selamat melahirkan nanti saya beritahu kekanda.”
Sultan Murad masuk ke sebuah bilik khas yang digunakan bagi beramal ibadat. Disitulah selalunya baginda berada selepas selesai melaksanakan urusan mentadbir negara. Baginda mengambil senaskah al-Quran lalu membacanya.
Pada masa yang sama di bilik bersalin pula Permaisuri Aisyah, isteri Sultan Murad sedang bergelut kesakitan kerana hendak melahirkan zuriat suaminya. Seorang bidan berpengalaman serta dua pembantunya sedang berusaha memudahkan permaisuri itu bersalin. Permaisuri Aisyah juga berharap anak yang dilahirkannya nanti seorang putera.
“Kekanda berdoa semoga anak kita seorang putera. Sebab itu marilah kita bertawakkal kepada Tuhan kerana Dia yang maha berkuasa.” Kata-kata suaminya sebentar tadi memberi kekuatan semangat kepadanya bagi mennghadapi saat yang mencemaskan itu.
Malam itu seluruh penghuni istana berdebar menanti kelahiran zuriat seorang sultan yang disayangi rakyat. Sudah bertahun-tahun mereka menantikan saat itu dan kini mereka menunggu kelahiran itu dengan perasaan berdebar-debar. Mereka bombing sekiranya Sultan Murad tidak mempunyai putera, berkemungkinan berlaku perebutan kuasa selepas baginda wafat. Sekiranya itu berlaku sudah tentu Negara menjadi huru-hara. Sebab itu mereka mengharapkan lahirnya seorang putera.
Debaran penghuni istana akhirnya hilang apabila kedengaran tangisan seorang putera. Mereka berasa gembira sambil mengucapkan rasa syukur. Panglima Tharhan berjalan pantas bagi menyampaikan khabar gembira itu kepada kekandanya.
“Bergembiralah wahai kekandaku kerana permaisuri selamat melahirkan seorang putera,” beritahu Panglima Tharhan.
Mendengar berita yang menggembirakan itu, Sultan Murad melakukan sujud syukur. Kemudian baginda mengulang-ulang ayat al-Quran yang baru sebentar tadi dibacanya yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.” (al-Fath:1)
“Itulah ayat yang sedang kekanda baca ketika khabar gembira itu adinda sampaikan. Kekanda tidak melupakan ayat itu,” kata Sultan Murad dengan wajah gembira.
“Itu suatu petanda yang baik. Allah pasti member kemenangan kepada kita,” kata Panglima Tharhan.
Sultan Murad segera menemui isterinya di bilik bersalin. Baginda menggenggam erat tangan permaisuri sambil mengucup dahinya. “Terima kasih kerana adinda sudah melahirkan seorang putera,” katanya.
Kemudian Sultan Murad menggendong bayi itu lalu mengalunkan azan. Semua penghuni istana berasa sayu bercampur gembira mendengarnya. Tambahan pula suara Sultan Murad memang merdu terutama apabila baginda mengalunkan azan.
“Saya namakan anak ini Muhammad. Semoga dia mendapat berkat sempena nama junjungan kita Nabi Muhammad SAW,” beritahu Sultan Murad kepada penghuni istana.
Mereka menyambut kelahiran itu dengan rasa gembira kerana bati lelaki itu bakal menjadi pemimpin Daulah Usmaniyyah Turki suatu hari nanti. Sultan Murad paling gembira kerana doanya sekian lama dimakbulkan Tuhan. Bertahun-tahun lamanya baginda menanti kelahiran bayinya itu. Selepas pelbagai usaha dilakukan termasuk mendapatkan khidmat tabib yang pakar. Kini penantiannya berakhir dengan kelahiran bayi yang comel itu.
Namun keriangan itu tidak berpanjangan kerana hatinya gusar apabila mengenangkan keadaan Negara Turki yang masih belum selamat daripada ancaman musuh. Maharaja Rom sentiasa berusaha melenyapkan pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah di Turki.tentera musuh yang menghimpit ternyata semakin hebat. Wilayah kekuasaan orang Islam di Timur Tengah sedang berpecah belah akibat berperang sesame sendiri sehingga kekuatan dan kehebatan orang Islam tidak lagi digeruni oleh musuh. Sebab itu raja Contantinople mengambil kesempatan menjatuhkan kerajaan Sultan Murad. Baginda juga tidak berdiam diri. Pelbagai usaha dan cara dilakukan bagi menakluk Constantinople tetapi tidak berjaya. Kini kedua-duanya saling ancam-mengancam menunggu peluang menjatuhkan lawan masing-masing.
“Kekanda bersyukur kepada Tuhan yang mengurniakan anak ini. Semoga apabila dia dewasa kelak, dia menjadi pemimpin yang gagah dan berani,” keta Sultan Murad meluahkan harapan.
“Saya harapkan pun begitu juga. Semoga anak saudara saya ini menjadi panglima perang bagi menawan Constantinople.” Panglima Tharhan pula menadah dua tangan bermohon kepada Allah dengan harapan yang tinggi.
“Saya namakan anak ini Muhammad, beerti yang terpuji. Semoga dia hidup dalam kebaikan dan keelokan agama Islam yang suci. Atas nama Islam jualah diharap dapat memupuk semangat cintakan agama dan Negara supaya dia tegar menegakkan undang-undang Islam seperti yang terkandung di dalam al-Quran.”
“Tertarik saya dengan kata-katamu wahai kekandaku. Begitu juga saya meletak harapan dan memanjat doa supaya kata-kata yang terluncur dari bibirmu bias diperkenankan Tuhan,” kata Panglima Tharhan.
“Saya yakin ayat ini diutus Tuhan bagi merebut Constantinople daripada kekuasaan Rom. Sebab itu dia dilahirkan ketika umat Islam tertindas. Kerajaan Uthmaniyyah mengharapkan kemunculan seorang pahlawan yang mampu menebus semula maruah umat Islam,” balas Sultan Murad pula.
“Kerajaan Islam Turki meskipun sudah mempunyai kerajaan sendiri namun tidak wajar kita mengabaikan kerajaan Islam yang lain. Kita perlu melindungi wilayah-wilayah Islam seperti di Baghdad, Andalusia, Mesir, Mousil dan Damsyik. Sekarang ini tentera Rom sudah mahu melebarkan jajahan takluk dan Turki adalah sasaran utama mereka.”
“Benar katamu, adindaku,” Sultan Murad mula berasa mengantuk.
“Hari sudah larut malam. Marilah  kita berehat seketika sebelum fajar subuh menyingsing. Dan esok selepas solat Subuh, saya umumkan kepada orang ramai mengenai berita gembira ini. Dan saya menjemput orang ramai ke istana bagi kenduri akikah.”
Esoknya seperti yang dirancang, Sultan Murad memberitahu orang ramai mengenai kelahiran anaknya yang diberi nama Muhammad. Mereka juga dijemput datang ke istana bagi menjamu selera. Berpuluh-puluh ekor kambing dan unta dikorbankan oleh Sultan Murad sebagai tanda kesyukuran dengan kelahiran zuriatnya.
Syeikh Bayram dan anak muridnya, Syeikh Syamsuddin al-Wali turut hadir di istana Sultan Murad. Ketika kedua-duanya datang, anak kecil itu sedang tidur di dalam buaian. Syeikh Bayram dan Syeikh Syamsuddin al-Wali merenung lama muka bayi yang sedang tidur nyenyak. Kemudian Syeikh Syamsuddin al-Wali berkata, “Wahai Sultan Murad, menurut firasat saya bukan tuanku yang membebaskan Kota Constantinople, tetapi anak tuanku yang di dalam buaian ini. Dia diutus oleh Tuhan bagi menjadi pemimpin yang baik dengan pasukan tentera yang baik dan dibantu oleh rakyat yang baik.”
Mendengar kata-kata ulama itu Sultan Murad berasa amat terharu sehingga melahirkan air mata. “Saya serahkan anak ini kepada tuan supaya dididik dengan ilmu agama dan disiplin tarekat,” kata Sultan Murad.
“Saya terima tanggungjawab itu kerana Allah. Selain ilmu agama anak itu juga mesti dididik dengan ilmu kepahlawanan dan peperangan,” kata Syeikh Syamsuddin al-Wali pula.
“Tugas itu saya serahkan kepada adik saya, Panglima Tharhan. Dia mempunyai banyak pengalaman terutama dalam ilmu peperangan,” balas Sultan Murad.
“Saya juga terima tanggungjawab itu kerana Allah,” kata Panglima Tharhan pula.

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...