Kembali Ke Laman Utama

Thursday, April 29, 2010

Firasat Seorang Ulama

“Kalaulah dunia ini sebuah Negara, maka Constantinople inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya!” :- Napoleon Benoparte

“Kota Constantinople hanya jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik. Begitu maksud sebuah hadis yang pernah dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW,” kata Syeikh Bayram semasa mengajar ilmu hadis di Masjid Yeldrim Beyazid Kulliyesi selepas solat subuh.
Masjid Yeldrim Beyazid Kulliyesi
Masjid  yang terletak di Bursa itu didirikan oleh Sultan Beyazid yang mendapat gelaran Yeldrim kerana keberanian dan ketangkasannya semasa berperang dengan tentera salib di Sungai Danube. Ketika itu kubu tentera Islam di Nighbolou dikepung oleh tentera salib. Sultan Beyazid Berjaya menyusup ke kubu itu tanpa disedari oleh musuhnya. Sultan Beyazid berusaha menawan Constantinople sebanyak 3 kali namun tidak berjaya. Pada kali yang ketiga baginda hamper Berjaya menaklukinya namun terpaksa mengundurkan tenteranya apabila tentera Monggol dibawah pimpinan Timurlime menyerang negaranya.

Sultan Murad selalu datang ke masjid itu bagi mendengar kuliah yang disampaikan oleh Syeikh Bayram. Kata-kata yang diucapkan oleh ulama terbilang itu begitu berkesan di hati Sultan Murad. Lama baginda termenung memikirkannya. Usaha menakluk Kota Constantinople yang menjadi kemegahan umat Kristian itu sudah berulang kali dilakukan oleh pemerintah Islam namun semuanya berakhir dengan kegagalan.

Saidina Ali bin Abi Talib, Khalifah ar-Rasyidin yang ke-4 sudah mencubanya pada tahun ke-34 hijrah. Tetapi tidak Berjaya menawannya. Ramai tentera Islam yang syahid sehingga Saidina Ali terpaksa melupakannya. Tambahan pula ketika itu berlaku perpecahan di kalangan umat Islam.

Kemudian pada tahun ke-84 hijrah, Muawiyyah pula cuba menaklukinya, namun tidak berjaya juga. Usaha itu diteruskan oleh Sultan Sulaiman Abdul Malik pada tahun ke-91 hijrah. Namun masih gagal menembusi kota yang kukuh itu. Kemudian Khalifah Harun ar-Rasyid cuba menaklukinya pada tahun ke-165 hijrah dan akhir sekali Sultan Murad sendiri cuba menaklukinya pada tahun ke- 825 hijrah namun semuanya berakhir dengan kegagalan.

Sultan Murad tertanya-tanya. Bilakah hadis itu menjadi kenyataan? Baginda selalu berharap supaya Constantinople dapat ditakluk pada zaman pemerintahannya. Baginda sudah mencubanya tetapi gagal juga. Namun baginda tidak berputus asa. Persiapan terus dibuat bagi menakluk Kota Constantinople. Namun kata-kata Syeikh Bayram itu benar-benar menyentuh perasaannya. Sebab itu apabila majlis ilmu itu selesai, Sultan Murad bertemu dengan Syeikh Bayram bagi mendapatkan penjelasan.

“Sudah hampir 800 tahun Nabi Muhammad SAW menuturkan hadis itu namun masih belum menjadi kenyataan. Apakah selama ini tidak ada ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik di Negara-negara Islam?” Sultan Murad mengemukakan persoalan yang sekian lama terpendam dalam hatinya.

Ulama terbilang itu menundukkan kepalanya apabila dia mendengar pertanyaan daripada Sultan Murad yang sangat dihormatinya itu. Dia berasa amat terharu kerana baginda sanggup datang ke majlis ilmu yang disampaikannya. Sekiranya baginda mahu, baginda boleh saja menjemput ulama-ulama terbilang datang ke istana. Namun Sultan Murad lebih suka datang sendiri ke masjid bagi menimba ilmu agama.

“Apakah pada zaman pemerintahan Khalifah ar-Rasyidin, Bani Umayyah dan Bani Abasiyah tidak ada pemimpin yang baik? Tanya Sultan Murad lagi.

Syeikh Bayram tersenyum lalu bersuara lembut tetapi berkesan kepada yang mendengarnya, “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bukan seorang ahli nujum dan bukan juga seorang tukang tilik. Namun apa yang disabdakannya pasti benar berlaku kerana baginda mendapat wahyu daripada Ilahi”.

Kemudian dia berkata lagi, “Ingatkah tuanku apa yang berlaku ketika baginda bersama-sama orang ramai menggali parit sebagai persiapan menghadapi Perang Khandaq ataupun Perang al-Ahzab yang berlaku pada tahun ke-5 hijrah?”

“Tuan pernah menceritakannya. Tetapi ada baiknya tuan mengulanginya sekali lagi supaya terpahat kukuh dalam ingatan saya,” jawab Sultan Murad.
peta kedudukan Yathrib(Madinah)
“Dinamakan perang al-Ahzab yang beerti gabungan kerana beberapa kumpulan musuh bergabung bagi memerangi orang-orang Islam di Madinah. Mereka termsuk kaum Yahudi, Musyrikin Mekah dan beberapa kabilah Arab yang belum Islam. Perang itu juga dinamakan Perang Khandaq ataupun parit kerana Nabi Muhammad SAW dan orang-orang Islam menggali parit disekeliling Kota Madinah bagi menghadapi serangan musuh. Panjang parit yang digali itu kira-kira 5000 hasta, dalamnya 10 hasta dan lebarnya 9 hasta. Dengan adanya parit itu menyebabkan musuh tersekat dan tidak dapat menyeberanginya.”

“Wahai tuan, apa kaitan kisah itu dengan perkara yang sedang kita bincangkan tadi?” tanya Sultan Murad pula.

“Semasa mereka sedang menggali parit, mereka terjumpa sebuah batu besar. Orang ramai cuba memecahkannya tetapi tidak berdaya. Kemudian Nabi Muhammad SAW mengambil penukul, baginda berdoa lalu memukul batu itu. Pada pukulan pertama kelihatan percikan api dan batu itu pecah separuh. Pada pukulan kedua kelihatan lagi percikan api dan batu itu pecah semuanya. Kemudian baginda bersabda yang bermaksud, “Pada pukulan pertama aku melihat gedung dan istana-istana kisra di Hirah (Parsi). Pada pukulan kedua, aku melihat istana-istana merah di Romawi(Rom). Sesungguhnya, umatku pasti mengalahkan mereka.”
Sultan Murad menumpukan sepenuh perhatian pada kata-kata yang diucapkan oleh Syeikh Bayram itu.

Menurut ulama terbilang itu lagi, “Hadis itu terbukti kebenarannya apabila akhirnya dua kuasa besar itu dapat dikalahkan oleh tentera Islam. Parsi dikalahkan semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar dan Rom dikalahkan semasa pemerintahan Saidina Umar.”

Sultan Murad menganggukkan kepalanya membenarkan kata-kata Syeikh Bayram.

“Tuanku masih ingat kisah seorang lelaki bernama Uwais al-Qarni?” Tanya Syeikh Bayram.

“Ya, tuan pernah ceritakannya dalam majlis ilmu,” jawab Sultan Murad.

“Nabi Muhammad SAW mengatakan Uwais al-Qarni berasal dari Yaman. Baginda berpesan kepada Abu Bakar dan Umar supaya mencari lelaki itu kerana doanya makbul. Selepas baginda wafat, setiap kali musim haji, Abu Bakar dan Umar menunggu kedatangan jemaah haji dari Yaman bagi mencari seorang lelaki seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Selepas beberapa tahun berlalu namun orang yang dicari masih belum ditemui. Namun mereka berdua yakin hadis Rasulullah SAW itu benar dan mereka tidak berputus asa mencarinya. Pada tahun ke-11 ataupun selepas berusaha mencarinya selama 11 tahun barulah lelaki itu ditemui,” kata Syeikh Bayram dengan panjang lebar.

“Subhanallah, maha suci Allah,” ucap Sultan Murad.

“Sebab itu kita mesti yakin apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW itu semuanya benar belaka,” takan ulama terbilang itu.

“Saya juga yakin kebenaran hadis itu. Sesungguhnya apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW semuanya benar,” kata Sultan Murad pula.
Constantinople yang digelar "Tanduk Emas" 
“Begitu juga dengan penaklukan kota Constantinople. Suatu hari nanti pasti terbukti kebenaran hadis itu,” kata Syeikh Bayram bersungguh-sungguh.

“ Bilakah ia terjadi? Saya tidak sabar hendak melihat kejatuhan Kota Constantinople.” Sultan Murad berwajah serius.

“Nabi Muhammad SAW mengatakan Kota Constantinople hanya dapat ditawan apabila wujudnya sebuah pemerintahan yang ketuanya baik, tenteranya baik dan rakyatnya baik,” jawab Syeikh Bayram.

“Pada zaman pemerintahan Khalifah ar-Rasyidin, Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah, tidak adakah pemimpin yang baik?” Tanya Sultan Murad pula.

Syeikh Bayram terdiam seolah-olah enggan menjawab pertanyaan itu. Tambahan pula dia memang tidak mahu memburuk-burukkan pemerintah Islam dulu-dulu. Dia tahu bagaimana kelakuan khalifah pada zaman pemerintahan Bani Umaiyyah, Bani Abbasiyyah dan Sultan Saljuk. Tetapi apalah gunanya didedahkan peristiwa itu kerana mereka sudah tiada lagi di dunia ini.

“Wahai tuan,” kata Sultan Murad, “Saya membuat persediaan menyerang Kota Constantinople. Saya mahu pastikan Kota Constantinople dapat ditawan semasa saya hidup.”

“Tuanku sudah mencubanya pada tahun 825H yang lalu tetapi tidak Berjaya. Sebelum Tuanku, Sultan Beyazid juga mencuba, namun tidak berjaya juga. Sebelum itu Khalifah Harun ar-Rasyid, Sultan Sulaiman Abdul Malik, Muawiyyah dan Saidina Ali pernah cuba menaklukinya tetapi semuanya gagal.” Syeikh Bayram mengenang semula usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh pemerintah Islam bagi menakluk Kota Constantinople.

“Kota itu memang kukuh dan kuat pertahanannya, namun saya tidak berputus asa menaklukinya.” Demikian tekad Sultan Murad.

“Wahai tuanku,” balas Syeikh Bayram pula, “Tuanku memang seorang pemimpin yang baik. Tetapi sekiranya mahu berjaya menawan Kota Constantinople, tuanku pastikan dahulu tentera dan rakyat tuanku juga baik. Apabila pemimpin baik, tentera baik dan rakyat baik baharulah hadis Rasulullah SAW itu menjadi kenyataan.”

Sultan Murad nampak seperti terkejut mendengarnya.. tetapi selepas berfikir sejenak barulah baginda mengakui kebenaran kata-kata lelaki yang terkenal dengan sifat solehnya itu. Kemudian baginda berkata, “Tuan seorang yang alim kerana itu doa tuan mudah dikabulkan Tuhan. Berdoalah supaya Kota Constantinople berjaya kami tawan. Semoga hadis itu berlaku pada zaman pemerintahan saya.”

Mendengar kata-kata itu, Syeikh Bayram mendiamkan diri seperti sedang bertafakur. Kemudian dia bersuara, “Mengikut firasat saya yang dikurniakan oleh Tuhan, bukan tuanku yang menawan Constantinople tetapi putera tuanku.”

Sultan Murad terseentak mendengarnya lalu berkata, “Saya tidak mempunyai putera. Mungkin firasat tuan tidak tepat ataupun sekadar bergurau.”

“Bersyukur kepada Tuhan kerana tuanku bakal mendapat seorang putera yang baik seperti yang dimaksudkan dengan hadis Rasulullah SAW.”

“Apa maksud tuan?” Sultan Murad berasa amat hairan.

“Permaisuri tuanku sedang mengandungkan seorang putera. Berilah didikan yang sempurna kepadanya selepas dia dilahirkan nanti.”

Bagi membuktikan kebenaran kata-kata ulama itu, Sultan Murad pulang ke istana lalu bertanya kepada permaisurinya, apakah benar baginda sedang mengandung.

“Sudah 3 bulan adinda tidak datang bulan. Itu petanda adinda sedang mengandung,” jawab permaisurinya.
Alangkah gembiranya hati Sultan Murad mendengar jawapan itu. Baginda menyuruh pembantunya menjemput Syeikh Bayram datang ke istana. Selepas ulama itu datang, Sultan Murad memeluknya sambil mengucapkan syukur.

“Memang benar seperti apa yang tuan firasatkan. Isteri saya sedang mengandung 3 bulan, semmoga kami mendapat seorang putera,” katanya.

“Insya-Allah tuanku bakal mendapat seorang putera. Namun semua itu dengan kehendak Tuhan juga.”
Sultan Murad kagum dengan kelebihan ilmu firasat yang dimiliki oleh Syeikh Bayram. Tambahan pula dia memang terkenal sebagai pakar rujuk mengenai masalah agama. Dia bukan sahaja hafal al-Quran tetapi juga beribu-ribu hadis tersimpan dalam ingatannya.

“Saya memerlukan khidmat orang seperti tuan. Mulai hari ini saya lantik tuan menjadi penasihat saya. Bantulah saya bagi menjadikan Negara ini dipimpin oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”
Dengan senang hati Syeik Bayram menerima tawaran itu. Bermula pada hari itu dia semakin rapat dengan Sultan Murad. Baginda selalu merujuk pada ulama itu dalam sesuatu perkara terutama yang berkaitan dengan hukum agama.

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...