
Kejayaan adalah satu pilihan hidup. Ia bukan sekadar takdir dan jauh sekali berdasarkan nasib semata-mata. Kebolehan seseorang mengharungi cabaran hidup, menyelesaikan masalah, dan mengawal emosinya banyak bergantung kepada tanggapan yang wujud dalam pemikirannya. Sekiranya tanggapan itu positif maka baiklah natijahnya. Kalau tanggapan itu negatif maka buruklah pula hasilnya.
Bagaimana tanggapan ini terbentuk? Bolehkah ia diubah? Persoalan ini sering memeningkan kepala mereka yang bukan ahlinya.

Tanggapan kita terhadap kebolehan diri kita seringkali tersasar. Kita menilai diri kita berdasarkan hanya tanggapan dan bukannya kebolehan diri sebenar yang ada.
Tanggapan ini pula merujuk kepada peristiwa lampau dalam sejarah hidup kita. Misalnya, kalau kita diminta memberikan pidato umum, kita mungkin menolaknya dan memberikan seribu alasan semata-mata kerana dulunya kita pernah ditertawakan kerana pidato yang tidak menjadi. Sebaliknya, kalau kita tidak pernah langsung berpidato, kita merujuk kepada pengalaman rakan yang ditertawakan dan menggambarkannya sebagai diri kita sendiri.

Minda manusia ibarat sebidang tanah. Apa yang disemai itulah yang dituai. Kalau kita sentiasa terdedah dengan unsur-unsur yang baik, bergaul dengan mereka yang berjaya, hidup dalam persekitaran yang membina. Pastinya tanggapan kita terhadap kebolehan diri kita mirip kepada kecemerlangan. Jadi semailah padi agar yang dituai nanti padi. Jangan semai lalang nanti yang tumbuh nanti juga lalang.
No comments:
Post a Comment