Kembali Ke Laman Utama

Wednesday, November 11, 2009

Remaja Berakhlak di bawah Panji-Panji Nabi Yusuf a.s



Setelah Allah swt menganugerahkan ganjaran kepada golongan yang ditimpa bala cacat penglihatan dan kusta, Allah swt menyeru pula kepada para pemuda(remaja) yang berakhlak mulia(muta’akkif). Mereka diseru agar menghadap Allah swt bagi menerima anugerah, sebagai ganjaran daripada usaha ikhlas dan kesungguhan mereka mengawal diri daripada sebarang pancaroba ketika remaja.

Masa remaja adalah zaman yang penuh dengan cabaran. Golongan remaja dengan keadaan fizikal yang segar-bugar, ketika inilah gelombang syahwat sangat bergelora. Tidak mudah untuk mengawal segala dorongannya, apatah lagi jika kehidupan mereka tidak terikat dengan keimanan dan batas-batas syariat.

Kesempatan untuk bergaul bebas sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi hidup dalam Negara dan masyarakat yang tidak melaksanakan hukum dan undang-undang Allah swt. Budaya maksiat yang sengaja disuburkan melalui pelbagai konsert yang mendorong mereka menjadikan kaum artis sebagai sanjungan dan ikutan, bukan sahaja meruntuhkan akhlak remaja, bahkan menyebabkan mereka menganggap maruah dan kehormatan seolah-olah tidak bernilai. Dengan mudah mereka menyerahkannya kepada seseorang lantaran runtunan hawa nafsu.
Budaya barat yang bersalut dengan kekufuran dan kemaksiatan sentiasa mengalir melalui media elektronik, termasuk juga video lucah, menjadikan golongan remaja sebagai sasarannya. Dalam suasana yang begitu onar, mungkin terdapat segelintir remaja yang hidup terasuh dalam keluarga yang berteraskan tarbiyyah Islam, mendampingkan diri dalam kelompok yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Dengan suasana yang murni itu, mereka memiliki daya tahan daripada ancaman pengaruh mungkar.

Tidak mudah untuk menjadi seorang remaja Mukmin dan berakhlak mulia, lebih-lebih lagi dalam suasana Negara dan pemerintah yang mengabaikan peraturan Allah swt. Dengan pengaruh persekitaran yang lebih menjurus kepada dunia hiburan yang melampau, hanya remaja yang mendapat taufik dan hidayah Allah swt seperti asuhan dan bimbingan daripada ibu bapayang berpegang teguh dengan amanah Allah swt sahaja yang akan selamat daripada segala bencana itu.

Hanya golongan remaja yang mempunyai banteng pertahanan iman serta akhlak yang mulia merupakan golongan yang telah berjuang sepenuh upaya untuk menjadi remaja yang bermoral tinggi. Allah swt amat menghargai remaja seperti itu. Oleh sebab itulah apabila mereka tiba di Mahsyar, mereka akan disambut dengan segala pujian dan sanjungan daripada para malaikat. Malah kehadirannya akan disambut oleh Allah swt dengan ucapan “Selamat Datang Wahai Para Remaja Yang Baik”.

Demikianlah penghargaan dan balasan Allah swt terhadap para remaja yang bekerja keras serta bersungguh-sungguh mengawal diri daripada segala pengaruh buruk yang bermaharajalela di sekitar mereka. Berkat kesabaran menahan diri daripada hidup berseronok dan berfoya-foya yang bersifat sementara di dunia ini, mereka akan mendapat keseronokan yang kekal abadi di Akhirat kelak.

Setelah Allah swtmengucapkan selamat datang kepada para remaja yang berakhlak mulia itu,lalu diperintahkan para malaikatsupaya menempatkan para remaja itu disebelah kanan. Untuk mereka disediakan bendera berwarna hijau, lalu Allah taala menyeru Nabi Yusuf a.s untuk menerima bendera tersebut bagi mengetuai para belia yang mukminun, berakhlak, sabar, dan mempunyai ilmu pengetahuan.

Nabi Yusuf a.s terpilih menjadi ketua para belia yang baik budi pekerti kerana baginda adalah seorang nabi yang sangat kacak dan tampan. Ketampanannya menggoda ramai para wanit, hingga wanita yang tertawan dan cuba menggodanya. Namun Nabi Yusuf Berjaya mengatasi semua halangan dan godaan itu.

Ulama tafsir menyifatkan kecantikan yang dianugerahkan oleh Allah swt kepada manusia di dunia ini hanyalah separuh daripadanya ada pada Nabi Yusuf a.s. dalam al-Quran terdapat satu surah khas yang bernama “surah Yusuf” yang bukan sahaja menceritakan paras rupa nabi Yusuf a.s yang tampan dan menawan tetapi juga menceritakan segala kebaikan dan kelebihan baginda.

Alangkah bertuahnya para belia itu kerana mendapat ketua seorang nabi yang termasyhur yakni Nabi Yusuf a.s. bersesuaianlah dengan ketabahan dan kekuatan hati baginda yang Berjaya menghadapi fitnah wanita. Maka demikian jugalah para remaja yang Berjaya menghadapi segala godaan dan cubaan alam remaja, maka mereka akan bersama-sama nabi Yusuf dibawah panji-panji hijau di Akhirat kelak.

Setelah itu, Allah swt memuliakan orang-orang yang menjalin hubungan baik sesame manusia semata-mata kerana Alah swt. Mereka berkawan bukan kerana wang ringgit yang selalu diterima atau kerana pertolongannya semasa mendapat kesusahan, tetapi hubungan baiknya hanya atas dorongan hati yang ikhlas. Justeru itu mereka mendapat ganjaran yang besar daripada Allah swt kerana sifat yang terpuji itu.

Sifat kasih mesra sesama insan itu merupakan banteng penghalang daripada segala persengketaan dan permusuhan.

Dipetik daripada buku NOTA KEPADA DIRI: NIK ABD AZIZ NIK MAT halaman 77-79

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...