Kembali Ke Laman Utama

Saturday, October 10, 2009

‘Pengkid’ kini lebih berani

salam, dipetik daripada  http://intim.wordpress.com/2008

Oleh ROSLAH OTHMAN

APA juga gelaran yang diberikan kepada gadis ini sama ada tomboy, ‘pengkid,’ lesbian atau yang sama erti dengannya membawa makna yang sama kepada masyarakat, di mana golongan ini cuba menonjolkan identiti gender berlawanan daripada norma-norma biologi, moral dan sosial yang mereka miliki.

Bukan tidak pernah diperdebatkan, malah sudah banyak kaji selidik dan pembentangan kertas kerja di meja-meja seminar termasuk oleh para ilmuwan, namun isu yang boleh dianggap sebagai kecelaruan gender ini bagai tidak ada kesudahan dan penghujungnya.

Mengulas mengenainya, Pengetua Pusat Kebahagiaan Remaja dan Wanita (KEWAJA), Yahya Mohd. Yusof, berkata jika dahulu golongan ini agak tersorok dan berada dalam kelompok sendiri, hari ini kegiatan mereka lebih terancang dan berani.

Beliau yang lebih menyifatkan gejala ini sebagai bencana sosial menegaskan, ia wajar dibendung sejak awal bagi memastikan tidak terus menjadi kudis dalam masyarakat.

‘‘Ia merupakan tanda-tanda turunnya ‘dajal’ yang kita sebagai manusia biasa tidak dapat melihatnya, sebaliknya hanya para alim ulama yang mengetahuinya,’’ ujarnya ketika ditemui di pusat tersebut di Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Daripada pemerhatian selain kes yang dirujuk kepadanya, Yahya mengakui kecenderungan golongan tersebut memilih cara hidup bertentangan dengan fitrah kejadian mereka dipengaruhi beberapa faktor.

Antaranya, faktor semula jadi apabila dari usia kanak-kanak lagi sudah nampak kecenderungan mereka lebih berminat kepada perempuan, selain suasana negatif ketika mereka dibesarkan seperti melihat lelaki yang disifatkan sebagai ganas seperti bapa yang tidak bertanggungjawab, kaki pukul dan sebagainya.

Menurut Yahya lagi, kelompok ‘pengkid’ ini boleh dibahagikan kepada dua, sama ada mereka tergolong sebagai pemangsa atau mangsa.

‘‘Mangsa biasanya terperangkap dengan pujuk rayu ‘pengkid’ asli yang pastinya mendatangi mereka dengan cara merayu, mengoda dan mencabul.

“Kebanyakan mangsa pada awalnya tidak suka, tidak mahu, tetapi mula menerima dan menyukai cara pemangsa.

‘‘Apabila ini berlaku, secara tidak langsung mereka berjaya membentuk piramid yang membolehkan mereka membina rangkaian lebih luas,’’ ujarnya.

Beliau berkata, daya tarikan dengan insan sejenis, secara realitinya ia tampak aneh, namun fenomena anak gadis terlibat dalam cinta songsang berpunca kepada keinginan dan kehendak diri iaitu perhubungan cinta dan seksual wanita bersama wanita lain.

‘‘Golongan ini berpendapat hanya wanita mengetahui keinginan wanita lain dan menjanjikan kepuasan yang lebih.

“Dari segi kepastian seksual (sexual security) pula, wanita ‘pengkid’ atau lesbian berasa lebih selesa kerana tidak terdedah kepada risiko mengandung.

‘‘Lazimnya, ahli sub-budaya ini cepat bertukar pasangan dan ada di kalangan mereka mempunyai ramai pasangan dalam satu masa yang sama. Ini bererti, apa yang dicari hanya kepuasan nafsu bukan hubungan sah,’’ ujarnya.

Dalam mengendalikan kes berkaitan, Yahya tidak menolak faktor kurang kasih sayang juga antara penyumbang kepada gejala ini.

Apa yang dilihat hari ini, ramai ibu bapa hanya menjalankan tanggungjawab tetapi dalam jiwa mereka sebenarnya tidak melekat kasih sayang, kebahagiaan dan kemesraan.

Tidak hairan katanya, apabila dilihat kepada peratusan individu yang terlibat dalam gejala sosial ini, golongan berpendidikan tinggi dan mempunyai asas agama mencatatkan jumlah agak tinggi.

‘‘Sama ada terperangkap dengan hubungan terlarang dengan lelaki atau cinta songsang sesama jenis, golongan ini sebenarnya tidak mempunyai kemahiran sosial dan gagal mengawal emosi,’’ ujarnya.

Menurut Yahya, sama seperti pelatih lain yang terlibat dalam kes hamil luar nikah, mangsa dera dan sebagainya, pelatih di KEWAJA dikehendaki mengikuti proses pemulihan kerohanian dan akidah terlebih dahulu.

Bagaimanapun, lambat atau cepat ‘pengkid’ ini pulih, bergantung kepada tahap mana mereka kini berada.

Bagi pemangsa iaitu ‘pengkid’ jenis tegar, mereka agak sukar dipulihkan dalam waktu singkat, berbanding mangsa.

Ditanya mengenai jumlah golongan ini yang pernah mendapat pemulihan di KEWAJA katanya, sejak dibuka pada tahun 1988, terdapat kira-kira 200 dikategorikan sebagai ‘pengkid’ dan mangsa ‘pengkid,’ yang datang ke pusat tersebut sama ada atas kerelaan sendiri atau dihantar ibu bapa.

Berkongsi pengalaman katanya, pernah juga pusatnya menerima seorang ‘pengkid’ yang rela hati untuk dipulihkan. Namun, rupa-rupanya ada udang di sebalik batu, kerana kedatangan ‘pengkid’ ini sebenarnya hanya untuk mencari mangsa.

Secara peribadi juga, beliau berpandangan sudah tiba masanya semua pihak melihat senario sosial ini sebagai sesuatu yang serius dan bersatu memainkan peranan dan tanggungjawab bersama tanpa perlu menuding jari kepada sesiapa.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil satu pendekatan termasuk mengadakan satu kempen ‘Selamatkan Wanita dan Remaja’ sebagai usaha menangani permasalahan ini dari terus merebak.

——————–

Dekati naluri, jiwa ‘pengkid’

Oleh AIZAWATI AHMAD

ALAM remaja merupakan satu peringkat peralihan antara zaman kanak-kanak dan dewasa di mana pada tahap tersebut golongan berkenaan mula mengalami perubahan ketara dari segi fizikal serta mental.

Pada usia muda itu iaitu sekitar 13 hingga 19 tahun, remaja mula belajar untuk berdikari dan membuat keputusan sendiri dengan bimbingan ibu bapa.

Pada usia tersebut juga, emosi seseorang remaja itu perlu dititik beratkan oleh ibu bapa agar mereka tidak keliru dengan proses dan perubahan yang berlaku pada diri mereka.

Naluri remaja yang mudah memberontak turut mendedahkan mereka kepada pergaulan sosial yang lebih terbuka di mana pada tahap tersebut, mereka lebih hampir dengan teman-teman sebaya.

Pegawai Penerangan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) Unit Pendidikan Bahagian Pembangunan Keluarga, Fouziah Hanim Yahya berkata, rakan-rakan di sekolah biasanya adalah individu yang paling hampir dengan remaja terbabit dan kebiasaannya pendapat daripada teman-teman sebaya lebih didengari berbanding pandangan ibu bapa.

‘‘Hubungan yang akrab berlaku adalah disebabkan faktor masa yang lebih banyak dihabiskan bersama rakan sekolah iaitu bermula pada awal pagi hinggalah ke petang,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mega selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘Seronok Menjadi Remaja’ di LPPKN, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, beliau memberitahu, dalam hal ini, ibu bapa perlu mengambil berat dengan siapa anak-anak mereka bergaul kerana gejala sosial yang berlaku sekarang perlu dipandang serius.

Katanya lagi, antara krisis sosial yang semakin parah berlaku adalah masalah ‘pengkid’ yang mana remaja wanita cuba berkelakuan dan berpakaian seperti lelaki.

Jelas Fouziah, hasil daripada penyelidikan beliau sendiri, ‘pengkid’ bukan sahaja berimejkan seperti lelaki tetapi mereka juga mempunyai naluri terhadap wanita.

‘‘Senario ini amat membimbangkan kerana golongan ‘pengkid’ semakin ramai di negara ini dan mereka juga ada kumpulan mereka sendiri serta sanggup bertindak ganas dalam situasi tertentu,” ujarnya.

Beliau memberitahu, selain ‘mat rempit,’ kerajaan seharusnya turut mengambil berat terhadap masalah ‘pengkid’ kerana ia perlu dibendung bagi mengelakkan mereka ini melakukan sesuatu yang jelas bertentangan dengan agama dan norma-norma kehidupan sebagai manusia.

Tambahnya, masalah itu semakin berakar umbi di mana ibu bapa perlu diberi penerangan mengenai masalah berkenaan agar mereka diberi panduan serta bimbingan bagi memahami pergolakan dan psikologi anak-anak.

Ketika ditanya sama ada cara didikan turut mempengaruhi keperibadian remaja, beliau berkata, kadang kala sikap segelintir ibu bapa yang gemar memakaikan pakaian lelaki kepada anak perempuan mereka sejak usia masih kecil lagi mampu mempengaruhi psikologi apabila mereka membesar menjadi seorang remaja.

‘‘Dalam hal ini, ibu bapa perlu peka terhadap corak didikan anak-anak bagi membentuk keperibadian dan sahsiah yang berlandaskan kehendak agama Islam,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, mendekati perasaan remaja adalah satu cara terbaik bagi mengetahui isi hati mereka kerana pada usia tersebut ibu bapa perlu mengambil kira pandangan anak-anak.

Fouziah memberitahu, masalah pada masa kini ialah ibu bapa kadang kala menolak secara mentah pandangan anak-anak yang meningkat remaja sehingga mereka tidak ada ruang untuk meluahkan isi hati yang terpendam.

Beliau berkata, tidak salah jika ibu bapa cuba bersikap lebih terbuka dan bersedia mendengar luahan hati anak-anak yang berasakan diri mereka terabai dan tidak disayangi.

‘‘Faktor inilah yang menyebabkan anak-anak remaja lebih gemar memilih rakan sebaya untuk berkongsi masalah kerana mereka berasakan ibu bapa tidak memahami jiwa muda mereka.

‘‘Sedangkan ibu bapa juga pernah menjadi remaja dan seharusnya mereka boleh memahami perasaan anak-anak mereka,” tegasnya.

Selain cara didikan ibu bapa, terdapat juga di kalangan remaja ‘pengkid’ yang sememangnya cenderung kepada sifat lelaki di mana mereka ini memiliki perasaan secara semula jadi menyukai kaum sejenis, ujar beliau.

Jelasnya, dalam hal ini, pendekatan psikologi perlu diguna pakai di mana masalah remaja berkenaan perlu dirujuk kepada pakar psikologi selain mendekatkan remaja berkenaan dengan agama.

Menurut beliau, kerajaan juga perlu sama-sama membantu bagi membendung masalah tersebut kerana krisis sosial di kalangan remaja bukan sahaja membabitkan isu-isu yang dominan seperti dadah, lumba haram dan seks bebas tetapi ia turut melibatkan masalah kekeliruan jantina.

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...