Kembali Ke Laman Utama

Monday, September 7, 2009

TUJUH PANDUAN UNTUK NAQIB

PENDAHULUAN

PANDUAN 1: MENGENALI AHLI USRAH DENGAN BAIK
Naqib perlu mengenali ahli usrahnya dengan mendalam. Selidiki latar belakang mereka: diri, keluarga, pendidikan, pekerjaan, perkara yang disukai, perkara yang dibenci dan sebagainya. Ikuti perkembangan hidup mereka: kebajikan, kewangan dan seumpamanya. Maklumat-maklumat itu boleh digunakan untuk mentadbir usrah secara lebih berkesan. Berpandukan maklumat itu, naqib boleh bertindak dengan tepat--sesuai dengan peribadi tertentu.

PANDUAN 2: MELAKSANAKAN USRAH DENGAN RANGKA PROGRAM
Naqib mesti merangka program usrahnya sebelum usrah itu bermula. Antaranya, agihkan masa yang sesuai untuk slot bacaan al-Quran dan pentafsirannya, bacaan hadis, perbincangan tajuk khusus, pembersihan hati, dan hal ehwal semasa. Tetapkan terlebih dahulu tajuk yang hendak dibahaskan dan bahan-bahan rujukannya. Senaraikan juga perkara-perkara untuk diumumkan kepada ahli usrah. Naqib juga perlu membaca sebanyak mungkin bahan rujukan yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.

PANDUAN 3: SEGARKAN USRAH DENGAN SUASANA PERBINCANGAN
Naqib berperanan untuk menyegarkan suasana usrah dengan perbincangan yang sihat dan terkawal. Pastikan perbincangan berfokus pada tajuk yang telah dirancang. Semasa berbincang, ahli digalakkan mengemukakan nas-nas yang sahih dan contoh-contoh dari sirah Rasulullah s.a.w. Usahakan agar perbincangan itu dikaitkan dengan realiti semasa dapat dihayati dalam kehidupan seharian.

PANDUAN 4: BERTINDAK SEBAGAI PEMIMPIN TEMPAT BERNAUNG
Naqib perlu menjadi qudwah hasanah kepada ahli-ahlinya dalam segala segi baik perbuatan, percakapan, perbelanjaan, cara bergaul dan berpakaian. Jalinkan ukhuwah sesama mereka, di dalam atau di luar usrah. Naqib juga perlu bertindak selaku kaunselor. Berbincanglah dengan mereka secara persendirian atau berkumpulan. Tanda awal seseorang naqib itu berjaya ialah apabila para ahli menjadikan dirinya sebagai tempat merujuk.

PANDUAN 5: MEMBERIKAN KERJA KEPADA AHLI
Naqib perlu memberikan tugasan yang sesuai dengan minat dan kemahiran ahlinya. Ahli itu akan berasa dihargai apabila diamanahkan dengan sesuatu tugas untuk kumpulannya. Ahli itu perlu diselia secara wajar dan minimum oleh naqib. Dengan cara ini, ahli usrah akan belajar berkomunikasi dengan lebih ramai orang dan sentiasa membina hubungan dengan naqib.

PANDUAN 6: MEMPELBAGAIKAN KESAN SAMPINGAN
Naqib boleh juga mendidik ahli usrah dengan cara-cara lain. Antara cara yang sesuai adalah seperti yang berikut:
6.1 Soalan. Kemukakan soalan kepada ahli-ahli usrah tentang tajuk-tajuk yang telah dibincangkan, termasuk isu semasa.
6.2 Penyelesaian masalah. Kemukakan masalah yang berkaitan dengan kehidupan seseorang ahli untuk diselesaikan. Contohnya, jika ahli itu pekerja yang sibuk, bincang dan selesaikan masalah agihan masa untuk tugas dan dakwah. Kes spesifik atau cerita boleh juga dikemukakan.
6.3 Permainan. Adakan "permainan" yang dapat menguji kepintaran ahli-ahli usrah. Permainan itu boleh menggunakan komputer, secara bertulis, lisan, mengira dan sebagainya. Pendekatan ini dijangka dapat mengekalkan minat ahli-ahli usrah.
6.4 Berkhemah dan berkelah. Kegiatan perkhemahan di pinggir hutan atau perkelahan di pantai sangat berkesan dalam membina ikatan persaudaraan sesama ahli usrah. Kegiatan-kegiatan seperti ini memberi peluang untuk mereka berinteraksi, melakukan kerja secara berpasukan dan membina sikap suka tolong-menolong.


PANDUAN 7: MENULIS LAPORAN PENILAIAN
Naqib perlu melakukan penilaian dari semasa ke semasa. Prestasi ahli-ahli usrah dari segi kefahaman, kesungguhan, potensi, minat, kelemahan, kekuatan perlu dinilai dan dilaporkan kepada mereka. Naqib sendiri perlu meminta komen daripada ahli-ahli usrah tentang cara pengendaliannya, tajuk perbincangan dan sumber rujukan. Berdasarkan komen itu, langkah pembetulan boleh dirancang dan dilaksanakan.

PENUTUP
Insya Allah, apabila berkesempatan nanti, saya akan berusaha menghuraikan setiap panduan ini. Saya bercadang membuat huraian berdasarkan empat perkara iaitu ulasan am yang bertujuan mengukuhkan hujah penulis, pelaksanaan panduan ini dalam usrah-usrah yang pernah saya sertai, cadangan meningkatkan pelaksanaan panduan ini, dan soalan atau bahan rangsangan untuk perbincangan lanjut. Komen awal daripada anda sangat dihargai.

TAMBAHAN
Petikan langsung: "Tugas mendidik adalah tugas mulia di sisi Allah walaupun rumit dan memerlukan banyak pengorbanan dan persiapan. Ketua usrah hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan diri sendiri. Kita hendaklah sentiasa menggantungkan setinggi harapan kepada Allah agar dibekalkan dengan kekuatan untuk terus bekerja dan berjihad untuk Islam. Janji Allah memang benar. Sesiapa yang menolong Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan meninggikan kedudukannya." Ummu Azmi.
*Ummu Azmi, "Petua Menjadi Ketua Usrah Yang Berjaya" dalam majalah Ummi, Julai 1990, 34-35.

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...