Kembali Ke Laman Utama

Sunday, September 27, 2009

AS-SYAHID SYED QUTB

Syed Qutb dilahirkan di Daerah Assyut p, Mesir pada tahun 1906. Berkat didikan ibubapa, beliau telah menghafaz seluruh AlQuran sejak kecil lagi. Beliau melanjutkan pelajarannya ke Darul Ulum (sekarang Universiti Qaherah) sehingga berjaya mendapatkan ijazah dalam bidang sastera (Pendidikan). Selepas tamat pengajian, beliau ditawarkan mengajar di Darul Ulum. Selepas beberapa tahun di situ, beliau dilantik menjadi 'Nazir' sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Mesir. Kementerian Pelajaran Mesir telah menghantar beliau ke Amerika Syarikat selama 2 tahun untuk mengkaji sistem pendidikan dan latihan moden yang ada di sana.

Pengalaman singkat (ringkas) beliau berhubung dengan budaya Barat membolehkan beliau mendalami pemikiran-pemikiran dan sosio budaya orang-orang Amerika dan Barat sendiri. Syed Qutb berpeluang melihat sendiri betapa runtuhnya pemikiran dan budaya Barat. Kembalinya dari Amerika, beliau mula berjinak-jinak dengan Ikhwan Muslimun dan akhirnya menyertai gerakan Islam itu pada tahun 1945. Ikhwan Muslimun melantik Syed Qutb sebagi Ketua Pengarang Majalah Al-Ikhwan Muslimun. Tetapi majalah ini hanya dapat dikendalikan oleh beliau selama 2 bulan sahaja kerana pada bulan September 1954, majalah itu diharamkan penerbitannya oleh Regim Jamal Nasir.

Regim Mesir ketika itu mengambil langkah kekerasan terhadap gerakan Ikhwan dan menangkap ribuan pendukungnya termasuk Syed Qutb. Penyiksaan yang 'teruk' terhadapnya menyebabkan Syed Qutb menderita penyakit yang 'teruk' di dalam penjara. Semasa di dalam tahanan inilah, Jamal Abdul Nasir telah menawarkan pembebasan terhadap beliau dengan syarat Syed Qutb menulis 'pernyataan' memohon maaf kepada Regim Jamal Abdul Nasir. Tetapi tawaran tersebut ditolak oleh Syed Qutb dengan kata-kata yang amat bermakna dan berharga buat setiap pendukung Islam di sepanjang zaman. Kata Syed Qutb:

"Aku merasa hairan dengan mereka yang mahukan manusia yang ditindas dan dizalimi berlutut memohon kepada penzalim dan penindas itu. Demi Allah, kalaupun dengan perkataan itu dapat menyelamatkan aku daripada tali gantung sekalipun, sesekali aku tidak akan mengucapkannnya. Aku lebih rela kembali menemui Allah dalam keadaan Ia meredhai aku dan aku meredhaiNya"

Tahun 1964 Syed Qutb dibebaskan apabila Jamal Abdul Nasir memenuhi permintaan Presiden Iraq yang meminta supaya Syed Qutb dibebaskan. Pembebasan itu dilakukan oleh Jamal Abdul Nasir kerana beliau ingin menjalin hubungan baik dengan Iraq. Tetapi tidak sampai 1 tahun dari pembebasan itu, Syed Qutb ditahan kembali dengan tuduhan ingin merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan dengan mengggunakan kekerasan. Turut ditangkap bersama beliau ialah adik-adiknya Muhammad Qutb, Hamidah Qutb, Aminah Qutb dan puluhan ribu anggota Ikhwan Muslimun yang lain. Akhirnya pada 29 Ogos tahun 1966,Syed Qutb bersama rakan-rakan seperjuangannya iaitu Muhammad Yusof Hawwash dan Abdul Fatah Ismail telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tentera Mesir.

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...