Kembali Ke Laman Utama

Monday, December 26, 2016

Pengwujudan Lembaga Tabung Haji dalam Meningkatkan Ekonomi Umat Islam di Malaysia


Oleh: Mohd Azlan bin Kahlid
        : Sarjana Muda Perbankan Islam, UiTM

Lembaga Tabung Haji satu merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita sebagai sebuah institusi yang terkenal dalam mengendalikan urusan berkenaan ibadat haji bagi para pendepositnya. Bertitik tolak atas kesedaran yang tinggi dalam penghayatan Islam sebagai ad-deen (Islam is the way of life) sebagai praktis dalam kehidupan, maka bagi mengelakkan terjebak kepada transaksi yang berasaskan riba yang sememangnya diharamkan oleh Allah swt melalui al Quran, maka pelbagai cara  diamalkan bagi tujuan menyimpan wang sebagai alternatif untuk melaksanakan kefardhuan melaksanakan rukun Islam ke-lima. Kaedah penyimpanan yang tidak efisyen oleh orang-orang dahulu termasuk turut menjual sebahagian ternakan malah juga harta telah meninggalkan kesan terhadap pengembangan ekonomi yang perlahan serta tekanan ekonomi ke atas keluarga mahupun waris dan juga diri sendiri sekeluarga sekembalinya pulang daripada mengerjakan ibadah haji dan umrah di dua kota suci umat Islam. Melihat kepada faktor ini, maka pada bulan November 1962, Perbananan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji ditubuhkan dan beroperasi pada tahun 1963. Segalanya wujud apabila hasil idea kertas kerja yang dikarang oleh Yang Mulia Profesor Di Raja Ungku Aziz yang bertajuk “Rancangan membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji” pada tahun 1959 diterima. Pada tahun 1969 pula, perbadanan berkenaan digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang, maka hasilnya Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) atau Tabung Haji ditubuhkan.

 Sejarah penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji atau singkatannya LUTH secara rasminya pada tahun 1969 dibawah akta 8/1969 membuktikan keupayaan institusi korporat ini terus gah memacu pertumbuhan ekonomi negara Malaysia. Sekitar tahun 1995, satu akta baru telah direncanakan iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji sekaligus memansuhkan akta sebelumnya. Nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji kemudiannya digantikan dengan nama Lembaga Tabung Haji (LTH) secara rasminya pada 28 Ogos 1997 dan kekal sehingga sekarang. Setelah bertapak kukuh lebih 52 tahun di persada negara, Lembaga Tabung Haji terus mengorak langkah dengan membuka pasaran baru dalam mengungguli fungsinya menguruskan hal ehwal ibadah haji umat Islam Malaysia menerusi penerokaan pasaran pelaburan ekonomi yang berteraskan pelaburan halal dan menepati garisan syarak. Ini dapat dilihat dengan kejayaan yang berterusan menerusi pulangan dividen yang tinggi kepada pendeposit saban tahun. Lembaga Tabung Haji beroperasi berlandaskan tiga (3) operasi utamanya iaitu pertama; menyediakan tabungan untuk umat Islam, kedua; menjalankan aktiviti pelaburan dana terkumpul dan pengawasan fungsi pelaburan serta ketiga; menyediakan perkhdimatan haji dan umrah ke Tanah Suci Kota Mekah al Mukarramah. Beroperasi di Jalan Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur di mana terletaknya bangunan pejabat utama berwajahkan struktur binaan bangunan berbentuk seperti sebuah tabung simpanan, menjadi simbolik yang sebati di kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Dengan berterapkan visi “Tonggak Kejayaan Ekonomi Ummah; Pengurusan Haji Terbilang”, beberapa misi dipadu bagi menghasilkan natijah yang memberi manfaat besar untuk ummah. Antaranya adalah dengan memperkasakan ekonomi ummah, dengan sentiasa giat dalam mencari pelaburan strategik di peringkat global dan tempatan bagi pertumbuhan yang berterusan,menggembleng dan memperkaya modal para pendeposit, memberikan perkhidmatan cemerlang yang berterusan, memudahkan dan membantu menyempurnakan urusan para jemaah ke arah haji yang mabrur serta memberi pulangan yang kompetitif, halal dan toyyiban. Ini dapat direalisasikan berasaskan nilai kerja profesionalisme, bekerja secara berpasukan, komited, prihatin, mesra dan penyayang serta menerapkan nilai inovatif dalam melaksanakan gerak kerja yang lebih tersusun dan sistematik.

Tugas Tabung Haji bukan lagi sebagaimana operasi awal penubuhannya untuk menggembleng tabungan di kalangan umat Islam yang mahu mengumpul wang bagi menyempurnakan rukun Islam kelima, iaitu ibadah haji di Kota Suci Mekah al Mukarramah, tetapi turut memperluaskan peranannya dalam mengembangkan penguasaan ekonomi umat Islam secara keseluruhan di samping memberi perlindungan ekonomi serta mengembangkan sumber pendapatan dalam suasana ekonomi semasa yang penuh cabaran berdepan situasi persaingan ekonomi di peringkat global. Dengan mengambilkira keseimbangan kepada tahap risiko yang bakal berdepan, Tabung Haji mampu meraih pulangan yang sangat besar untuk dimanfaatkan oleh para pencarumnya. Malah dengan fungsinya yang semakin fleksibel tanpa menggugat tujuan asal penubuhannya, peranannya terus diperluaskan untuk Tabung Haji turut bersama memulihkan situasi ekonomi negara daripada menerima kesan-kesan besar akibat daripada kegawatan dan kemelesetan ekonomi dunia. Kesan mendapan ekonomi yang menguncup nilai matawang sesebuah negara menjadi pertimbangan para ahli ekonomi Islam untuk terus mempersada sistem kewangan Islam ke peringkat yang lebih jauh bahkan bukan lagi menjadi sistem subsidiari, tetapi menjadi pilihan utama kepada negara-negara Islam bagi menggantikan sistem ekonomi yang sedia terpakai.

Dengan iklim perkembangan industri kewangan Islam yang kian pesat malah menjadi salah satu komponen yang kompetetif dalam sistem kewangan di Malaysia dan menjadi sebahagian pemacu pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara, penyertaan Lembaga Tabung Haji dalam merancakkan ekonomi umat Islam Malaysia tampak jelas apabila pelbagai rencana dijalankan oleh barisan kepimpinan organisasi Lembaga Tabung Haji. Antaranya melalui aktiviti penyimpanan wang oleh pendeposit, wang berkenaan dilaburkan dalam pelbagai sektor industri halal yang turut memberi pulangan yang kompetetif. Dasar yang telus dalam laporan turut memberikan imej positif bahawa institusi korporat ini terus mendapat kepercayaan masyarakat umat Islam di negara ini.  Kos mengerjakan ibadah haji pula semakin meningkat setiap tahun, namun Tabung Haji berjaya mengekalkan pemberian subsidi hasil daripada pelaburan dan perniagaan yang menguntungkan.Untuk makluman juga, subsidi haji adalah merupakan pelaburan tanggung jawab sosial korporat (CSR) yang terbesar dan juga terpenting bagi Jemaah haji muassasah pertama kali setiap tahun. Bahkan pemberian subsidi ini nyatanya telah membantu mengekalkan bayaran haji bagi seorang jemaah pada kadar Rm 9,980.00 jauh lebih rendah biarpun kos mengerjakan haji pada kadar yang sebenar bagi tahun 2015 adalah Rm17,270 bagi setiap individu atau seorang Jemaah haji. Ini menunjukkan bahawa dengan kekuatan aset kewangan dan prestasi yang dimiliki oleh Tabung Haji membuktikan kos bagi tanggungan haji masih mampu dibiayai oleh Tabung Haji dengan pemberian subsidi. Ini sekaligus membantu golongan yang kurang berkemampuan dan menunaikan hasrat golongan ini yang ingin turut serta bersama-sama menjadi tetamu pilihan Allah di kaabah. Pemberian subsidi ini juga sejak tahun 2001 lagi, adalah sebagai salah satu agenda kebajikan kepada para Jemaah haji selain turut menyumbang peruntukan yang besar bagi kos operasi sokongan haji merangkumi bimbingan haji, khidmat rawatan, serta khidmat petugas haji.            Betapa pentingnya akan penubuhan Tabung Haji ini sehingga turut menapat pengiktirafan dan pujian daripada beberapa negara termasuk kerajaan Arab Saudi sendiri. Ini sekaligus membuktikan para bakal haji menapat manfaat yang besar terhadap kemajuan pengurusan Tabung Haji yang cemerlang untuk membela mereka mengendalikan sistem penyimpanan yang berkesan di samping menjaga ekonomi umat Islam.

Tidak dapat dinafikan lagi institusi korporat Lembaga Tabung Haji ini banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara melalui kegiatan yang dijalankannya. Antaranya adalah menerusi kegiatan pelaburannya melalui pelbagai lapangan yang berpotensi. Aktiviti pelaburan merupakan salah satu aktiviti teras Tabung Haji dimana dana wang simpanan pendeposit akan dijana  melalui pelaburan untuk hasil pulangan yang kompetetif dan patuh aspek syariah. Aktiviti-aktiviti ini dijalankan oleh Jabatan Pelaburan dan Jabatan Kewangan Korporat dan Perkhidmatan. Berdasarkan laporan pecahan perolehan pendapatan Tabung Haji bagi tahun 2013, sebanyak 58% perolehan terbit daripada ekuiti, 18% daripada pendapatan tetap, pasaran wang dan instrumen kewangan pula menyumbang lebih 10%, segmen hartanah pula menyumbang sebanyak 8% dan lain-lain hasil perolehan adalah sebanyak 6%. Dengan pengukuhan anak syarikat pelaburan Tabung Haji seperti dalam sektor perladangan (TH Plantation Bhd, TH Indo Industries Sdn Bhd, TH Indopalm Sdn Bhd, TH Estates-Holdings Sdn Bhd) , Sektor Perbankan (BIMB Holdings Bhd melalui  anak syarikat Bank Islam Malaysia Berhad-BIMB dan Syarikat Takaful Malaysia), Sektor Teknologi Maklumat (THETA Edge Bhd), Sektor Hospitaliti (TH Hotel & Residence Sdn Bhd, TH Travel & Services), Sektor Perkhidmatan (THC International Bhd), Sektor Hartanah dan Pembinaan (TH Properties Sdn Bhd, LTH Property Investment (L) Inc, LTH Property Holdings Limited, dan LTH Property Holdings 2 Limited) serta Sektor Sokongan Marin (TH Marine Sdn Bhd, TH Alam Holdings (L) Inc dan TH Marine Holdings (L) Inc). Kesemua kekuatan anak syarikat terkenal yang dimiliki oleh Tabung Haji ini menunjukkan betapa pesatnya penjanaan pendapatan ekonomi Tabung Haji untuk menggerakkan penguasaan ke atas pasaran ekonomi tempatan sehingga ke peringkat yang lebih jauh di arena antarabangsa.

Antara penglibatan cemerlang yang ditunjukkan ialah menerusi Sektor Kewangan Islam yang diaktifkan oleh BIMB Holdings Bhd (BHB) merupakan pelopor perniagaan patuh syariah di Malaysia. Ia dijalankan melalui aktiviti perbankan Islam, takaful dan pembroker saham. Keuntungan sejumlah Rm883.6 juta pada tahun 2014 oleh perbankan Islam dan takaful sememangnya amat besar bagi mengukuhkan prestasi pelaburan yang disertai oleh Tabung Haji. Di samping itu, menerusi sektor perladangan, penglibatan Tabung Haji melalui aktiviti perladangan kelapa sawit dan getah serta pengilangan di Malaysia dan Indonesia di dalam sektor pengeluaran dan pembungkusan minyak sawit mampu memaksimakan lagi hasil pendapatan negara ini. Objektif dan matlamatnya melalui pengurusan perladangan yang efisyen dan kemampuan menghasilkan produk yang bermutu bagi memenuhi permintaan untuk pasaran eksport. Bagi sektor hartanah dan pembinaan pula, Tabung Haji menerusi pelbagai anak syarikatnya mempamerkan prestasi cemerlang untuk kewangan dengan peningkatan pendapatan sebanyak 65% iaitu sebanyak Rm441 juta. Di sektor Hospitaliti dan Perkhidmatan pula dengan pengalaman dan kepakaran lebih 50 tahun,  TH Hotel & Residence Sdn Bhd kini menguruskan rangkaian TH Hotel di seluruh Malaysia antaranya di Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Kelana Jaya, Alor Setar dan Pulau Pinang dengan jumlah jualan tahunan sejumlah Rm45.2 juta. Dan bagi sektor Perkhidmatan dan lain-lain pula, menerusi THETA Edga Berhad, yang merupakan antara syarikat-syarikat Telekomunikasi Teknologi Maklumat (ICT)  yang pertama disenaraikan di Bursa Malaysia, skop perniagaan diperluaskan lagi menerusi pengukuhan semua sektor penglibatan ini bukan sahaja menggerakkan nilai ekonomi negara, bahkan secara khusus membuktikan penguasaan ke atas ekonomi adalah jihad yang penting bagi survivor ekonomi umat Islam di Malaysia.

Di samping itu, kewujudan Lembaga Tabung Haji juga telah memenuhi keperluan pendeposit dari kalangan orang-orang Islam untuk menyimpan wang mereka di institusi ini yang beroperasi berteraskan prinsip syariah. Ini adalah kerana Lembaga Tabung Haji tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata tetapi lebih menitik beratkan faktor seruan agama, maka ini akan mendorong lebih ramai rakyat Malaysia yang beragama Islam khususnya untuk menyimpan wang mereka di Lembaga Tabung Haji. Dengan jumlah prospek pendeposit sejumlah 8.614 juta orang pada tahun 2014 menjadi bukti institusi ini semakin mendapat kepercayaan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia malah turut mendapat sanjungan daripada negara Islam luar. Apabila terdapat ramai pendeposit yang menyimpan, maka jumlah kewangan Lembaga Tabung Haji akan turut meningkat. Berdasarkan Laporan Tahunan Lembaga Tabung Haji Malaysia Berhad bagi tahun 2010-2014 jumlah pendeposit semakin meningkat dari satu tahun ke satu tahun. Ini terbukti apabila pada tahun 2010 jumlah wang yang disimpan oleh pendeposit adalah sebanyak RM 27.10 billion dan meningkat kepada Rm 31.70 bilion pada 2011, Rm 38.30 bilion pada tahun 2012, Rm 45.70 bilion pada 2013 dan peningkatan mendadak kepada Rm 54.40 bilion pada tahun 2014. Dengan prestasi kewangan yang mapan ini maka Lembaga Tabung Haji mampu membuktikan prestasinya dengan melaburkannya dalam sektor pelaburan dan perniagaan yang berprestasi tinggi. Dengan perakuan ini, maka berlakulah aliran keuntungan nilai pelaburan yang akan membawa kepada pulangan yang kompetetif. Melalui keuntungan yang diperolehi, pembangunan ekonomi negara akan dapat ditingkatkan melalui kutipan cukai serta zakat.

Ini terbukti berkesan apabila pemberian bonus yang semakin kompetetif seiring dengan pengukuhan kewangan institusi ini dipersada dunia. Malah pada tahun 2014, bayaran bonus sejumlah RM3.2juta telah diagihkan kepada 8.6 juta pendeposit  Tabung Haji sebagai penghargaan kepada kepercayaan dan juga sokongan berterusan mereka kepada Tabung Haji.  Pemberian bonus ini ditawarkan menerusi bonus tahunan yang kompetitif iaitu sebanyak 6.25%, iaitu tiga mata asas lebih tinggi berbanding yang ditawarkan oleh bank-bank komersil lain di negara ini. Tabung Haji juga telah membayar Bonus Haji tambahan sebanyak 2% untuk para pendeposit yang belum menunaikan haji. Pemberian bonus tambahan ini diharapkan dapat membantu menambahkan simpanan haji para pendeposit untuk urusan dan keperluan haji mereka dimasa akan datang nanti.

Menerusi ucapan perbentangan Bajet 2015 yang bertajuk “Ekonomi Keperluan Rakyat” baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak turut menekankan  melalui perancangan Memperkasa Agenda Bumiputera Tindakan Ke-3: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera menyebut, “Lembaga Tabung Haji akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi penubuhan Akaun Pelaburan Terhad patuh syariah di Bank Islam. Tujuan akaun ini adalah bagi menyediakan kemudahan pembiayaan dan kredit yang bernilai antara 50 ribu sehingga 1 juta ringgit mulai Januari 2015.” Satu inisiatif telah dirangka oleh pihak Tabung Haji dengan mewujudkan Dana Bumiputera Al-Ansar bagi merealisasikan hasrat berkenaan yang merupakan akaun pelaburan terhad yang pertama di Malaysia dengan mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Bank Islam Malaysia Berhad pula dilantik sebagai pengurus dana akan memainkan peranan penting dalam membuka peluang kepada golongan Bumiputera terpilih untuk menjadi usahawan. Antara produk yang ditawarkan kepada bakal usahawan Bumiputera ialah melalui Pembiayaan Perniagaan-i (Tawarruq) dan juga Ijarah Thumma Bai-I dengan kadar keuntungan dikenakan setahun hanyalah 4.5% setahun yang dikira berdasarkan kadar rata. Mereka yang layak memohon terdiri daripada Bumiputera Muslim sama ada secara persendirian, perkongsian mahupun syarikat sendirian berhad yang menjalankan perniagaan berorientasikan patuh syariah. Dengan pengwujudan skim Dana Bumiputera Al-Ansar ini, maka kumpulan usahawan ini tadi dijangka mampu merancakkan sumber pendapatan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana dengan lebih pesat serta mewujudkan usahawan yang mampu bersaing ke peringkat yang lebih besar dalam pasaran.

Keupayaan Lembaga Tabung Haji juga terserlah dengan menceburi bidang industri perhotelan. Menariknya industri perhotelan begitu terkenal di Malaysia yang menyumbang kepada struktur ekonomi Malaysia menerusi sektor pelancongan. Berdasarkan peluang seperti paparan data pelancong menerusi Laporan Tahun 2014 menerusi Pelan Transformasi Ekonomi, sebanyak 27.4 juta orang pelancong tiba ke Malaysia pada tahun 2014 berbanding 25.72 juta orang pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 6.7%. Kemudahan fasiliti yang cemerlang yang disediakan di Hotel Lembaga Tabung Haji menyaingi hotel-hotel bertaraf 5 bintang yang terkemuka di Malaysia. Malah penginapan yang selesa serta bilik dewan seminar yang besar telah menarik pelbagai sektor jabatan kerajaan dan swasta untuk memilih Hotel Lembaga Tabung Haji sebagai penginapan pilihan utama. Keberhasilan perancangan strategik menerusi pelaburan dalam industri perhotelan ini sesuatu yang amat memberansangkan memandangkan pelancong tempatan mahupun luar negara begitu yakin dengan kualiti, keyakinan terhadap aspek penyediaan makanan 100% halal, kebersihan, keselesaan dan yang lebih penting mereka yakin terhadap pengurusan yang lebih islamik ditawarkan berbanding persepsi terhadap pengurusan konvensional. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh World Tourism Organization, Malaysia mengekalkan kedudukan di tangga ke-13 bagi tahun 2014 dari segi pendapatan yang dijana sektor pelancongan antarabangsa. Manakala mengikut jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke negara ini, Malaysia berada di tangga ke-12 pada 2014. Faktor serta peluang yang begitu kondusif kepada ekonomi negara ini tidak disia-siakan untuk Lembaga Tabung Haji setapak melangkah ke depan bersama-sama menjadi pelabur strategik kepada kepentingan pencarum.

Umum juga mengetahui bahawa Lembaga Tabung Haji telah melaksanakan kewajipan utama dalam rukun Islam iaitu pengeluaran zakat bagi urusan perniagaan. Lembaga Tabung Haji yang bertapak di seluruh negeri di Malaysia telah mengumumkan 2.5% hasil keuntungan yang diwajibkan sebagai zakat perniagaan diiserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) setiap negeri. Berdasarkan rekod pembayaran zakat yang dikeluarkan, sejumlah Rm 57 juta pengeluaran zakat perniagaan dibayar pada tahun 2014 berbanding Rm 53 juta dan Rm 47 juta bagi tahun 2013 dan tahun 2012. Menerusi Majlis Agama Islam Negeri, kerjasama yang erat dijalin bersama untuk Lembaga Tabung Haji melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan yang dijalankan setiap tahun bagi disampaikan sumbangan kepada kumpulan asnaf zakat terutamanya golongan faqir dan miskin. Dengan itu, zakat yang berperanan sebagai agen pemangkin ekonomi umat Islam menjadi semakin berperanan dengan jelas apabila jurang ekonomi  dapat dikecilkan menerusi program pembasmian faqir dan miskin di kalangan asnaf zakat. Sejenak menerusi pembasmian kemiskinan ini, keluarga-keluarga asnaf terbela mendapat hak perlindungan tatkala kos kehidupan yang semakin meningkat apatah lagi bagi memiliki rumah sendiri. Sebagai contoh, dalam membina komuniti bestari, 2 projek melibatkan pembasmian kemiskinan dan meningkatkan ekonomi dilaksanakan antaranya Projek Ehsan yang merupakan projek berkala tahunan bagi menyediakan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan seperti warga emas, ibu bapa tunggal dan golongan kurang upaya pada bulan Ramadhan. Inisiatif ini bertujuan bagi meringankan bebanan kewangan bagi menyambut lebaran Syawal. Bagi Projek Baiti pula yang turut dikenali dengan “Projek Bumbung” sebelum ini yang dilancarkan pada tahun 2012, projek kendalian ini membantu membina dan membaiki rumah-rumah serta masjid untuk komuniti masyarakat yang kurang berkemampuan. Matlamat daripada perlaksanaan projek ini adalah untuk mengurangkan beban golongan miskin dan meningkatkan lagi taraf hidup mereka dengan penyediaan rumah yang lebih selesa dan selamat.
Bagi peluang kerjaya pula, Tabung Haji juga mempelawa mereka yang berkelayakan dan mempunyai kebolehan yang kompeten boleh bersama-sama institusi ini melalui peluang kerjaya yang sentiasa diiklanlan di laman sesawang Tabung Haji. Malah bagi menjayakan aspirasi negara, serta menjalankan tanggungjawab korporat sosial (CSR), Tabung Haji juga mengajak mahasiswa-mahasiswa tempatan menyertai Program Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) yang kian mendapat minat para graduan bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan untuk berkhdimat di lapangan kerjaya yang sesuai dengan tahap pengajian. Mereka yang layak boleh memohon apabila terdapat kekosongan dan akan dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga. Program Skim Latihan 1 Malaysia ini membuktikan ruang dan peluang terbuka luas bagi anak muda tempatan yang berhasrat merealisasikan impian mereka sekaligus mengecilkan kadar pengangguran di Malaysia. Melihat kepada catatan statistik pekerjaan dan perburuhan yang dikeluarkan setakat bulan Jun 2015 oleh pihak Kementerian Sumber Manusia, terapat sejumlah 445,200 orang penganggur yang terdiri daripada 256,400 orang lelaki manakala selebihnya adalah perempuan sejumlah 188,800 orang. Skim Laihan 1 Malaysian yang telah diperkenalkan sejak tahun 2011 ini juga terbukti berjaya apabila agensi-agensi yang terlibat selain Tabung Haji turut bersama menyediakan peluang kerjaya ini. Dalam dapatan yang diperoleh sumber Jabatan Tenaga Manusia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sejumlah 53,000 orang graduan telah mendapat manfaat daripada program ini sejak ianya diperkenalkan. Ini termasuklah kumpulan-kumpulan selain daripada graduan pemegang ijazah, diploma serta mereka yang mempunyai Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan juga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dengan jumlah yang semakin meningkat untuk penyertaan ke dalam skim ini membuktikan segala usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan sememangnya berkesan bagi mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia yang merangkumi 3% kadar penggangguran di seluruh negara dengan peningkatan 3.3% setiap tahun. Ini sekaligus menggambarkan kepada kita bahawa penyertaan Tabung Haji serta kewujudannya memberi impak yang besar terhadap ekonomi negara khususnya ekonomi umat Islam itu sendiri. Krisis pengangguran jika gagal dibasmi dengan berkesan akan memberikan impak yang negative khususnya kepada kelompok umat Islam itu sendiri.

Konklusinya,dengan melihat kepada kepentingan penubuhan Tabung Haji di atas ke atas kesan dan manfaat ke atas ekonomi umat Islam, maka kita dapat melihat bahawa institusi kewangan Islam khususnya Lembaga Tabung Haji ini memainkan peranannya yang amat besar dalam pembangunan dan pengembangan ekonomi negara. Walaupun wujudnya persamaan dari segi fungsi dan aktiviti yang dijalankan oleh perbankan dengan bank konvensional  serta syarikat swasta yang lain, tetapi landasan penubuhannya adalah berbeza. Tabung Haji menjalankan urusan bakal haji serta pelaburan yang dengan berlandaskan hukum Islam serta bertujuan keagamaan yang memelihara semua prinsip maqasid syariah. Oleh yang demikian sumbangan yang diberikan oleh institusi korporat seperti Lembaga Tabung Haji adalah amat besar dalam menjana pembangunan ekonomi Malaysia dengan sumber yang halal dan tidak bertentangan dengan aspek hukum syarak. Prospek ini adalah untuk mencetuskan pembangunan ekonomi Malaysia yang lebih seimbang dengan menyusun agenda pembangunan ekonomi yang lebih Islamik yang kian mendapat sambutan.Sebagai langkah yang lebih agresif dan progresif dalam menentukan halatujunya, rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam sangat mengharapkan institusi ini dapat melangkah lebih jauh dan berperanan dengan lebih optimum selaras dengan kekuatan sumber yang dimilikinya baik dari sudut pengurusan, kewangan, dasar yang jelas serta aset strategik yang dimilikinya demi memastikan umat Islam terus mendapat manfaat hasil penubuhannya khususnya alam meningkatkan lagi ekonomi umat Islam di Malaysia.

Nombor Telefon Untuk dihubungi: 0139883435/0132807194
Bibliografi:

Laman Web:
World Tourism Organization : http://www2.unwto.org/
Jabatan Tenaga Manusia :
Website Tabung Haji:
-http://www.tabunghaji.gov.my/aktiviti-pelaburan-th , aktiviti pelaburan Tabung Haji
Laporan Tahunan 2014 Tabung Haji
Statistik Pekerjaan dan Perburuhan Bil 2/2015 bagi bulan Jun 2015
Khutbah Jumaat 21 Zulkaedah 1434H bersamaan 27 September 2013M, TABUNG HAJI PERKASA UMMAH;


Akhbar dalam Talian:

Utusan Malaysia

Sinar Harian

Ucapan
Ucaptama oleh Penolong Gabenor di Majlis Muhadharah ILIM Kali Ke-9 yang bertajuk "Kedudukan Sistem Kewangan Islam di Malaysia - Satu Tinjauan"

Artrikel




No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...