Kembali Ke Laman Utama

Thursday, August 27, 2015

Niat Zakat

Niat bukanlah lafaz amalan lidah yang difahami orang ia perlu dilafazkan sepertimana "sahaja aku berniat...." yang belum tentu mewakili tujuan sebenar. Ia juga bukanlah susunan perkataan yang perlu diatur sehinggakan perlu diulang-ulang atau dihafal sehingga ada yang mengganggu ketika mendirikan solat mahupun sebagainya.
Bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati.

Niat merupakan perkara wajib dan kesemua para ulama besepakat termasuk empat mazhab iaitu mazhab Abu Hanifah, Malik bin Anas, Muhammad bin Idris dan Ahmad bin Hanbal. [i]Oleh yang demikian, wajib ke atas pengeluar zakat berniat bagi membezakannya dengan pemberian sadaqah mahupun kafarah. Sepertimana yang dinaqalkan pada sebuah hadis yang masyhur yang bermaksud:

“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Waktu Berniat
Pengeluar zakat (pemilik harta) hendaklah berniat antara 2 masa atau pada kedua-duanya sekali iaitu ketika:
i. Sewaktu penyerahan kepada orang yang berhak
ii. Sewaktu pemisahan nilai yang mahu dizakatkan daripada harta. Niat ini sudah cukup dan tidak perlu diniatkan lagi semasa penyerahan zakat.

Wakil (orang tengah) boleh mewakilkan pengeluar zakat

 Bagi yang diwakilkan hendaklah sewaktu penyerahan kepada wakil dan tidak wajib bagi wakil untuk berniat sewaktu penyerahan zakat kepada orang yang berhak. Tetapi adalah baik jika wakil juga berniat sewaktu penyerahan zakat jika sekiranya pemilik harta tidak berniat / terlupa, maka memadailah orang yang mewakilkannya tadi. Niat sewaktu penyerahan kepada pihak pemerintah ataupun wakilnya. Ini sudah memadai kerana wakil pengurus zakat merupakan wakil kepada asnaf yang berhak.[ii]

Amil tidak boleh berniat bagi pihak pengeluar zakat 

Jika pemilik tidak berniat swaktu diserahkan zakat kepada pemerintah, niat pemerintah selepas itu tidak memadai dan harta itu bukanlah dikira sebagai zakat. Ini kerana pemerintah (pengurus zakat) hanyalah wakil kepada orang yang berhak (asnaf zakat). Oleh itu pengurus zakat tidak boleh dikatakan boleh berniat bagi pengeluar kerana ia merupakan wakil kepada orang yang berhak.

Dipaksa mengeluarkan zakat

 Sekiranya pemerintah mengambil harta secara paksa kepada pemilik harta yang enggan mengeluarkan zakat, maka niat pemerintah dianggap sebagai zakat. Ia dikira sah kerana darurat menurut pandangan mazhab Syafie.[iii] Bagi Abu Khitab dan Ibnu Uqail mengatakan keadaan paksaan ini menuntut pemilik harta wajib niat berzakat dan bukan pula pemerintah. [iv]

Dr. Zulkifly Muda; Isu-Isu Berkaitan Dengan Zakat terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, hal. 104-105


[i] Al-Majmu’, 6/184, al-Mughni, 2/638, al-Ikhtiyar, 1/101
[ii] Al-Fiqh al-Manhaji (terj), 2/403
[iii] Al-Majmu’, 6/191
[iv] Al-Mughni, 2/640

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...