Kembali Ke Laman Utama

Tuesday, May 12, 2015

Kita beriman sebelum kita percaya.

1. Orang yang mempunyai kepercayaan kepada dirinya, akan bertindak mengikut kata hatinya kerana munculnya kuasa yang menggerakkan akalnya untuk merancang, kuasa yang merubah putus asa kepada sebuah harapan.

2. Maka kepercayaan adalah perkara yang sangat bernilai dalam batang tubuh manusia. Ia merupakan suatu kuasa dalaman yang menolak semua kkelemahan dan menyanggah sebarang kemungkinan.

3. Orang yang gagal pada hasil kerjanya jika ditanam kuasa kepercayaan yang positif, tidak sekali-kali merasa itulah jalan pengakhiran.

4. Percaya datang dalam kuasa yang perlbagai peringkat. Jika lemah kepercayaannya maka mudahlah ia digugat. Jika sebaliknya, segala badai rintangan yang melanda akan ditempuh tanpa rasa takut.

5. Namun percaya tidak akan mati bersama jasad yang sudah tidak bernyawa kerana ia meninggalkan sebuah perjuangan kehidupannya berdasarkan apa yang ia percaya.

6. Sebagai orang Islam, percaya itu berlingkar dalam kerangka yang benar-benar realistik kepada apa yang menjadi sunnahtullah kehidupannya. Percaya datang apabila ia suatu yang benar-benar berlaku. Tetapi itu adalah suatu sikap yang berharap pada sesuatu kejadian. Maka percaya ini bukanlah hakiki. Islam meletakkan IMAN sebagai suatu definisi yang melangkaui erti kepercayaan. Kerana adakala percaya itu hanya terucap apabila sesuatu itu dibuktikan pada mata kasar, didengar oleh telinga, dirasai oleh pancaindera.

7. Sedang IMAN mendahului Percaya. Jika hadir Iman, maka ia akan mendahului segala perkhabaran padanya. Percaya memerlukan bukti untuk diterima. 

8. Seorang ibu akan melarang anak bermain dalam semak hutan kerana dikhuatiri ada ular. Maka seorang anak bisa menyanggahi anak kerana ia mahukan bukti, sebab itu ia berdegil masih bermain juga. Apabila sudah dipatuk ular baharulah ia percaya.

9. Tanyakanlah pada diri kita, apakah kita meletakkan percaya itu pada segala apa yang kita lihat, apa yang kita dengar dan segala yang memerlukan bantuan pancaindera kita untuk tunduk kepadanya? Atau masih ada sekelumit Iman yang sebenar-benarnya adalah permata kepada diri kita. Iman akan menyanggah segala perkara yang tidak mungkin, menukar segala perkara yang mustahil dan berpegang kepada sebuah janji yang tersembunyi pada pandangan mata kasar.

Itulah keajaiban yang luar biasa ada pada KUASA IMAN.

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...